Berita Hari Ini

Sumbangan Najib Kepada Masyarakat India Lebih Besar Banding Tun M

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih dihargai oleh masyarakat serta pimimpin kaum India berikutan sumbangan beliau untuk membantu kaum berkenaan dalam pelbagai aspek.

Malah, Presiden MIC Datuk Ser Dr S Subramaniam sendiri mengiktiraf sumbangan itu dan menyifatkan Najib lebih baik dari perdana menteri sebelum ini.

“Dan dia (Dr Subramaniam) menyebut bahawa saya telah melakukan lebih daripada perdana menteri-perdana menteri sebelum saya, termasuk seorang yang keturunannya dari negara India dulu,” katanya.

Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus Najib dipercayai sekali lagi menyindir bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi antara pengkritik paling lantang kerajaan.

Pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, nenek moyang Dr Mahathir dikatakan berasal dari Kerala, India.

Pernah bertegas supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad suatu ketika dulu, Dr Mahathir kini bermusuh dengan beliau.

Hubungan kedua-dua mereka kini diibaratkan sebagai berpatah arang.

Kata Najib, dalam belanjawan setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan untuk sekolah aliran Cina dan Tamil, serta sekolah agama.

Katanya, hampir RM900 juta diperuntukkan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara sejak beliau menjadi perdana menteri.

“Saya lakukan perkara ini sebab saya percaya inilah patut dilakukan secara adil untuk semua. Bukan setakat itu, kita akan terus menambah bilangan SJKT.

“Seperti dijanjikan pada 2013, kita janji bina enam SJKT baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 530 sekolah.

“Empat sekolah dalam proses pembinaan, satu akan dibuka bulan depan dan satu lagi pada akhir tahun nanti. Semua janji kerajaan kita tepati,” katanya.

Tidak dilupakan, kata Najib, ialah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang membuktikan kerajaan tidak bercakap kosong, sebaliknya gigih memberikan kesejahteraan kepada masyarakat India di negara ini.

“Pelan ini bukanlah sekadar khayalan, vetti pecchi atau omongan kosong sebaliknya pelan ini adalah nijjam atau kenyataan iaitu pelan realiti pertama sebagai tindakan menyejahterakan masyarakat India.

“MIB ialah platform baik untuk mencapai kepemimpinan masyarakat India yang lebih kuat dan bersepadu,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap di majlis menyemat plak dan pelancaran buku Kegemilangan 200 Tahun Pendidikan Tamil di Malaysia di SJKT Taman Permata, di Dengkil, Selangor.

Selain Dr Subramaniam, turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");