Berita Hari Ini

130,000 Peluang Pekerjaan Sejak Pembinaan MRT SBK

KUALA LUMPUR – Sebanyak 130,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dimulakan pada 2011 hingga kini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kewujudan projek itu juga telah menyumbang kepada peningkatan Pendapatan Negara Kasar kira-kira RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun.

“MRT SBK turut merangsang kawasan baharu seperti Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh, Warisan Merdeka, Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Cochrane,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Salim Sharif @ Mohd Sharif yang ingin tahu implikasi pertumbuhan ekonomi dan impak sosio ekonomi atas pembinaan MRT SBK di sepanjang kawasan jajaran itu.

Nancy berkata, projek MRT SBK turut mendorong aktiviti perniagaan dengan sambungan akses yang baik dengan membolehkan orang ramai ke kawasan perniagaan.

Sebagai contoh katanya, perniagaan Restoran Sate Kajang Haji Samuri yang terletak berdekatan dengan Stesen MRT Stadium Kajang telah dilaporkan mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan sehingga 60 peratus sejak pembukaan stesen itu pada 17 Julai lalu.

Mengenai sama ada kerajaan bercadang menyambung jajaran tersebut ke Seremban, Nancy berkata pembinaan MRT di negeri lain bergantung kepada banyak faktor seperti kepadatan operasi, keadaan muka bumi dan permintaan serta aliran pergerakan penumpang.

“MRT bukanlah sesuatu mod pengangkutan awam yang terbaik bagi sesuatu kawasan kerana kebolehlaksanaan atau fleksibiliti sesuatu jenis pengangkutan awam itu mempunyai pilihan lain seperti bas henti-henti dan tren.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan terus meneiliti sistem terbaik untuk kawasan lain di negara ini melalui Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");