Berita Hari Ini

227 Kes Salah Guna Media Baharu Disiasat

KUALA LUMPUR – Sebanyak 227 kes melibatkan penyalahgunaan media baharu termasuk media sosial, laman sesawang dan blog telah disiasat bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes telah dikenakan kompaun dan lapan kes telah didakwa dan disabitkan kesalahan.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 75 peratus daripada 2,000 akaun palsu telah diambil tindakan termasuk dikenakan sekatan dan penutupan akaun, selebihnya masih dalam siasatan.

“Untuk tindakan penutupan akaun palsu ia perlu dilaporkan kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial yang kebanyakannya berada di luar negara seperti Facebook dan Twitter berdasarkan pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini lapor Bernama.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Zali Mat Yasin yang ingin tahu jumlah dan statistik individu atau kumpulan yang telah dikenakan tindakan undang-undang bagi kesalahan media sosial.

Jailani menjelaskan portal sebenarnya.my yang dilancarkan pada 14 Mac lepas bagi menangani penularan berita palsu telah menerima sebanyak 9.29 juta layaran daripada orang ramai dengan anggaran 1.845 juta layaran sebulan.

“Sejak pelancarannya hingga Julai lepas, portal itu telah menerima sejumlah lebih 600 penyaluran maklumat daripada orang ramai dengan anggaran lima penyaluran sehari.

“Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menyediakan analisis bulanan terhadap respons orang ramai dan akan menyediakan laporan lengkap mengenai kajian keberkesanan portal itu setelah genap setahun ianya beroperasi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan sama ada kerajaan bercadang untuk meningkatkan hukuman denda dan penjara terhadap pesalah media sosial, Jailani berkata semakan menyeluruh sedang dijalankan terhadap peruntukan di bawah akta sedia ada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");