Perak Hari Ini

Anak Muda Cipta Lagu Kampung Kuala Slim

“Haa..Mari Semua, Ini Kisah Akan Kampung Kami
Telah dibuka Oleh Tuan Mat Talib
Di Hujung Kuala Tempat Terletak
Nama Diberi Kampung Kuala Slim
Nama Dulu Kampung Tilau

“Bermula Penduduknya Ramai
Erat Ikatan Setia Bersama
Seluruh Kampung Bersaudara
Tak kira Apa keturunan
Haa… Ada Banjar, Bugis, JawaRawa, Semua Perak!

Yuslisham Yunos

Ini antara bait-bait lagu Kampung Kuala Slim ciptaan anak muda Yuslisham Yunos 35 tahun, yang dipertanggungjawabkan mengilhamkan keunikan kampung Kuala Slim menerusi lagu rakyat yang mudah diterima halwa telinga setiap yang mendengarnya.

Bercerita mengenai idea penghasilan lagu Kampung Kuala Slim, ujar Yuslisham asal penghasilan lagu tersebut bermula dari karya muzikal pada tahun 2015 dan kini karyanya itu menjadi salah satu kekuatan buat Kampung Kuala Slim merebut johan Anugerah Desa Perdana peringkat Kebangsaan tahun 2017 yang akan diumumkan Ogos ini.

Minta Tunjuk Ajar ‘Orang Lama’

Kata Yuslisham lagi, pendapat orang ‘lama’ sentiasa dijadikan panduan dalam menghasilkan tiap bait lirik-lirik lagu Kampung Kuala Slim malah setiap baris lagu itu perlu mencerminkan keunikan juga sejarah kampung di Slim River ini.

“Setelah saya buat perenggan terakhir lirik lagu ini saya rujuk kepada pandangan orang kampung untuk dengar semula dan memberi komen kerana mereka orang ‘lama’pastinya lebih arif mengenai sejarah kampung sendiri.

“Saya beri orang-orang kampung mendengarnya kerana saya sendiri generasi ketiga-keempat memerlukan orang untuk mengajar saya mengenai nama tempat, sejarah dan maklumat tentang kampung supaya tidak salah fakta,” katanya.

Mengulas lanjut, selaku anak jati Kampung Kuala Slim tiada daya lain untuk berbudi kepada kampung halaman sendiri selain membantu mengetengahkan keunikan kampung sendiri.

Ditambah dengan minat mendalam terhadap dunia seni persembahan dan teater, pastinya penghasilan lagu rakyat ini tambah mudah buatnya.

Identiti ,Sejarah Kampung Kuala Slim

Kesepakatan penduduk, identiti dan sejarah Kampung Kuala Slim menjadi kekuatan lagu rakyat ini, jelas Yuslisham elemen sejarah nama sungai, sejarah pembukaan kampung juga kepelbagaian ekonomi dicoretkan dalam lirik-liriknya.

“Saya masukkan elemen sejarah, identiti kampung kerana di kampung Kuala Slim unik ada nelayan sungai malah ada juga penduduk kampung yang menternak kambing sebagai sumber ekonomi mereka selain bercucuk tanam,” katanya.

Tambahnya lagi, muafakatan antara penduduk kampung juga cukup utuh di kampung ini apabila mereka tidak lokek untuk salin membantu satu sama lain dan orang muda yang bersedia menjadi pelapis anak bangsa.

Jadi jika berminat melihat sendiri keunikan Kampung Kuala Slim tiada salahnya anda berkunjung sendiri kekampung ini dan merasai kepelbagaian sejarah dan ramah-tamah penduduknya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");