KUALA LUMPUR: Kegagalan meraih pingat emas pada saingan Sukan SEA 2017 bukan penamat buat skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.
Ini kerana barisan pemain ini bakal menjadi taruhan negara untuk melakar kejayaan lebih besar di pentas lebih berprestij iaitu pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, tahun depan.
Jurulatih Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya segera bangkit daripada kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam, semalam.
“Selepas ini kita ada tugasan di Kejohanan AFC (B-23). Kita akan berkumpul semula Disember ini sebelum memulakan kempen di China. Biarpun kita kalah hari ini (semalam), saya percaya kita dalam landasan tepat.
“Ada sedikit perubahan pemain berbanding kita tewas 0-3 kepada Thailand di pusingan kelayakan AFC di Bangkok bulan lalu dan kali ini, kita lebih matang dalam permainan untuk menyaingi mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan kelmarin.
Biarpun Kim Swee seakan sudah merancang persiapan seterusnya ke China, namun tanda tanya mengenai kedudukannya untuk terus membimbing pasukan masih berlegar memandangkan kontraknya bakal berakhir hujung tahun ini.
Adakah kegagalan mengulangi kejuaraan 2011 di Sukan SEA Jakarta bakal mendorong FAM membuat penilaian semula? Kontrak Kim Swee sebelum ini dikatakan bakal dilanjutkan selepas membawa anak buahnya ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 buat kali pertama secara automatik.
Suka atau tidak, Kim Swee yang sebelum ini diketepikan untuk memberi laluan kepada Frank Bernhardt, adalah watak penting dalam dua kejayaan pasukan itu tahun ini.
Walaupun seolah-olah diturunkan pangkat daripada mengendalikan skuad Harimau Malaya Mac lalu, komitmen pengendali kelahiran Melaka itu tidak boleh dipertikaikan, lapor BH Online.
Pelbagai kesukaran seperti kesuntukan masa dan kegagalan mendapatkan pemain utama disebabkan jadual padat Liga-M terpaksa dihadapinya, namun Kim Swee masih mampu mengemudi barisan muda negara dua tugasan besar tahun ini.