Membawang Hari Ini

Boy Iman Frust Terlepas Nabila

Pelakon dan penerbit filem, Boy Iman, mengakui kecewa apabila nasib tidak menyebelahinya selepas gagal mendapatkan Nabila Huda untuk berlakon dalam filem seram Blok 404.

Katanya, memang ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada kegagalan itu namun dia tidak dapat menafikan berasa terkilan.

“Kami bagaikan satu keluarga dan banyak pengalaman dan memori indah dikongsi bersama ketika membintangi Blok 404 versi cakera video digital (DVD).

“Apabila timbul idea dengan projek filem ini, sudah tentu saya mahukan semua pelakon asal bersama-sama terbabit tetapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

“Memang rasa terkilan dan kekurangan sebab tak dapat Nabila, cuma saya pasti ada hikmah di sebaliknya,” kata Boy dalam satu kenyataan.

Selepas mencetuskan fenomena pada 2003, telefilem Blok 404 itu kini difilemkan melalui projek lebih besar.

Walaupun membawa judul sama, versi filem itu adalah naskhah tersendiri dan tidak mempunyai kaitan atau kesinambungan dengan telefilem berkenaan.

Sementara itu, Nabila menjelaskan dia bukan sengaja menolak tawaran berkenaan, sebaliknya terpaksa kerana terikat dengan penggambaran 100 episod drama Dendam Aurora yang masih berbaki 50 peratus penggambaran.

Katanya, dia perlu bersikap “mementingkan diri sendiri” kerana khuatir tidak dapat memenuhi tanggungjawab bekerja di dua lokasi berlainan, selain bimbang dengan tahap kesihatannya.

“Memang saya dengar… ada yang cakap, sayang benar sebab saya tak turut serta berlakon filem Blok 404.

“Ada yang tanya, kenapa saya tak buat cerita yang cukup epik ini.

“Namun harus saya jelaskan dengan komitmen dengan drama Dendam Aurora, saya terpaksa menolak tawaran berlakon filem itu,” katanya.

Tambahan pula, kata Nabila, dia memegang watak utama dalam drama berkenaan dan ia tidak memungkinkannya terkejar-kejar ke sana sini dalam waktu singkat.

Justeru, katanya, dia terpaksa menolak tawaran berlakon filem Blok 404 kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Saya tak boleh nak memuaskan hati semua orang ketika ini walaupun yang terbabit ialah kawan sendiri. Saya kena bersikap pentingkan diri.

“Watak dan komitmen saya untuk Dendam Aurora pun sangat meletihkan dan memerlukan komitmen yang padu. Bayangkan saya sampai jatuh sakit,” katanya.

Sementara itu, menurut Penerbit Eksekutif Blok 404, Kamisah Abd Manap atau Kam, dia lega apabila impiannya menghimpunkan semula bintang asal telefilem itu menjadi kenyataan.

Katanya, walaupun Nabila terikat dengan tugasan lain, mereka berjaya mendapatkan beberapa wajah baru untuk menjayakan filem berkenaan.

“Alhamdulillah penerbit DBI Entertainment berjaya mendapatkan pelakon terkenal untuk memberikan rencah lain dalam filem ini. Penggambaran filem ini juga masih berbaki sehari yang akan diadakan tak lama lagi,” katanya.

Penggambaran filem Blok 404 diadakan sejak 8 hingga 21 Jun lalu di beberapa lokasi seperti Rumah Kebun Hulu Langat dan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Jalan U Thant, Ampang dan Rumah Sri Kenangan, Cheras.

Masih mengekalkan barisan orang pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey dan Datuk Boy Iman, filem yang diarahkan Isma itu turut membariskan beberapa pelakon baru seperti Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah. Tidak ketinggalan Kamal Adli, Ozlynn Waty, Syamsul Yusof, Riz Amin dan Taufik Hanafi.

Blok 404 dijangka memulakan tayangannya di pawagam tanah air hujung tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");