Isu Panas

Cadangan Tubuh RCI Bagi Peristiwa Memali Bukan Untuk Aniaya Sesiapa – MB Kedah

ALOR SETAR: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat semula ‘Peristiwa Memali’ bukan bertujuan menganiaya sesiapa.

Demikian pandangan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang berpendapat RCI berkenaan ditubuhkan sememangnya terdapat keperluan dan permintaan daripada pelbagai pihak termasuk waris mangsa.

“Saya amat menyokong kerana insiden itu berlaku di Kedah. Jadi kita nak tahu (perkara) yang sebenarnya kerana sekarang ini orang sudah mula bercakap (mengenainya).

“Waris kepada si mati pun dah tuntut supaya adakan siasatan. Kalau itu yang betul, maka betullah.

“Jadi saya amat menyokong apa yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, jika dia perlu suruhanjaya ini akan ditubuhkan,” ujar beliau lapor Astro Awani.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menutup Program 1 Komuniti 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Kota Setar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz dekat sini, siang tadi.

Beliau mengulas tuduhan liar sesetengah pihak yang mendakwa penubuhan RCI adalah untuk menganiaya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu untuk menyiasat peristiwa itu sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 di Baling menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata sokongan penubuhan RCI berkenaan juga berikutan peristiwa berdarah itu berlaku di Kedah sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");