Jenayah

Dakwa Diraba Penumpang, Pengerusi Persatuan E-hailing Mahu Sistem Dipertingkat

KUALA LUMPUR: Isu pemandu e-hailing seperti Uber dan Grabcar diraba penumpang boleh diatasi dengan mewujudkan sistem pendaftaran penumpang yang lebih sistematik.

Pengerusi Persatuan Pemandu Uber, Grabcar dan Zepp On, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata ia bakal menimbulkan risiko besar kepada pemandu e-hailing itu sendiri seandainya tidak segera dilaksanakan.

“Ini yang selalu ditekankan dengan isu keselamatan pemandu juga yang mana syarikat e-hailing tidak ambil peduli terutama isu pendaftaran penumpang oleh Grab dan Uber yang hanya mengambil syarat seperti hanya perlukan emel dan nombor telefon sahaja tanpa perlu pengesahan identiti langsung.

“Kejadian pagi tadi terhadap saya selaku pemandu Uber amat membimbangkan apabila telah dicabul oleh seorang penumpang lelaki yang memegang kemaluan saya dengan sengaja.

“Jenayah ini boleh berlaku pada sesiapa dan di mana sahaja. Bukan semua penumpang e-hailing ini baik dan mereka juga akan lakukan jenayah terhadap pemandu.

“Bagaimana jika penumpang e-hailing ini melakukan jenayah pada pemandu jika tiada maklumat identiti yang sah sedangkan kita tahu emel dan nombor telefon boleh dimanipulasi,” katanya lapor Astro AWANI.

Syed Rosli berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling mengenai kejadian yang menimpanya.

Katanya, dia menepis perbuatan itu namun terpaksa meneruskan perjalanan menghantar penumpang berkenaan ke destinasi.

Sebelum ini, Syed Rosli meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelaraskan kadar tambang bagi perkhidmatan e-hailing.

Tegasnya, ia menjamin tiada harga tambang yang tidak munasabah seperti ketika ini.

Pada Jun, polis menahan seorang pemandu GrabCar yang dipercayai merogol seorang wanita di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata lelaki berkenaan dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun yang menggunakan perkhidmatannya pada pukul 4 pagi.

Pemandu GrabCar itu kemudian direman enam hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Atiqah Abdul Karim untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");