Jenayah

Gara-Gara Iklan Pinjaman Di Facebook, Diperdaya RM64,000

BANDARAYA MELAKA – Gara-gara tertarik dengan iklan daripada sebuah agensi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman di Facebook, sepasang suami isteri terpaksa berputih mata kerana menanggung kerugian sebanyak RM64,000 dalam tempoh tidak sampai 10 hari.

Mangsa, Rohayah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia langsung tidak menyangka iklan berkenaan hanyalah satu penipuan kerana ia mengenakan syarat yang mudah termasuk menawarkan pinjaman bagi individu di senarai hitam.

Rohayah yang menjalankan perniagaan membekalkan barangan makanan sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia membuat permohonan pinjaman berjumlah RM70,000 bagi tujuan membesarkan perniagaan selain menampung kos pembelajaran anak ke luar negara.

“Selepas bersetuju dengan syarat yang dikenakan, seorang wanita telah meminta saya memasukkan wang RM900 untuk pembayaran menjadi ahli pada 7 Julai lalu dan RM800 dua hari kemudian untuk menghapuskan nama yang disenarai hitam.

“Selepas itu, individu terbabit meminta lagi RM2,597 sebagai bayaran setem hasil dan bayaran pemprosesan berjumlah RM4,000 diikuti RM7,000 sebagai bayaran 10 peratus daripada jumlah pinjaman keseluruhan.

“Sejak dari tarikh pembayaran pertama dalam tempoh 10 hari saya telah memasukkan wang berjumlah RM64,000 menerusi beberapa transaksi ke akaun atas nama beberapa individu.

“Yang hairannya saya suami isteri bagaikan dipukau kerana hanya bersetuju sahaja untuk membayar kesemua wang yang diminta sehingga kami terpaksa meminjam dari rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Menurut Rohayah, selepas lebih seminggu menunggu wang pinjaman tak kunjung tiba lalu dia merasakan bagai ada yang tidak kena dan menganggap diri sudah ditipu, lantaran telah membuat satu laporan polis.

“Akibat kejadian ini saya dan suami menjadi semakin tertekan, tidak dapat tidur malam kerana rakan dan saudara mula bertanya duit mereka yang saya hutang.

“Lebih menyedihkan lagi saya terpaksa menangguhkan pengajian anak kedua ke luar negara gara-gara wang simpanan sudah habis digunakan,” katanya.

Berikutan buntu dengan masalah itu, dia bersama suami cuba mendapatkan bantuan daripada Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) Melaka.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya percaya individu terbabit merupakan ahli kumpulan sindiket penipuan kerana nama syarikat tersebut tidak pernah didaftarkan dan tidak wujud setelah dirujuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Saya pihak berkuasa bertanggungjawab mempercepatkan proses kes ini supaya mangsa mendapat keadilan sewajarnya. Kami dari pihak Pembela BN sendiri akan cuba membantu mangsa dan menyediakan khidmat guaman untuk melancarkan kes tersebut.

“Saya juga berharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada orang lain agar berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sesuatu perkara lebih-lebih lagi ketika berurusan di laman sosial,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");