Sukan Hari Ini

Gatlin Sedih Kena Cemuh, Bolt Sifatkan Ia Tidak Patut

LONDON: Justin Gatlin berkata dia amat sedih di atas tindakan penonton yang mencemuh kemenangannya pada final acara 100 meter Kejohanan Dunia, awal pagi tadi.

Malah bintang Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan dia ‘sudah menerima hukuman’ kerana kesalahan doping dan Usain Bolt yang gagal mempertahankan mahkota kejuaraan, turut bersetuju dengannya.

Gatlin merampas gelaran dunia daripada Bolt dengan mencatat kepantasan 9.92 saat, namun kemenangan atlet berusia 35 tahun itu tidak diiktiraf penonton.

Sebaliknya, dia mendapat cemuhan sebahagian besar peminat olahraga, kesan daripada hukuman penggantungan dua tahun kerana kesalahan doping di awal kariernya.

“Ia agak menyedihkan apabila cemuhan ke atas saya lebih kuat kedengaran berbanding yang menyorak saya,” kata Gatlin kepada pemberita.

“Saya mahu meraikannya dengan penuh bergaya dan sebaik melintasi garisan penamat saya cuba melutut di depan Usain sebagai penghormatan kepadanya.

“Apapun ia tetap malam yang istimewa buat acara trek dan olahraga dan juga untuk Usain; banyak kejayaan yang sudah dilakarnya.

“Saya tidak dicemuh pada 2010, 2011 atau 2012 – atau 13,14 atau 15 – dan kini mula dicemuh.

“Saya sudah kembali. Saya sudah menjalankan khidmat masyarakat. Bercakap kepada kanak-kanak, memberikan inspirasi kepada mereka – itu saja yang mampu saya lakukan,” katanya.

Pada masa sama, Gatlin turut memberitahu yang Bolt menyokongnya dan memberitahunya yang dia tidak layak dicemuh.

“Perkara pertama yang dia beritahu kepada saya adalah, ‘tahniah, anda telah bekerja keras untuk kejayaan ini. Katanya lagi, ‘anda tidak layak dicemuh’ dan saya berterima kasih kerana memberikan inspirasi kepada saya,” ujarnya.

Bolt, yang menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang seorang lagi pelari AS, Christian Coleman, turut bersetuju.

“Saya sering berkata sejak beberapa tahun lalu dia sudah menerima hukuman lampaunya,” kata pelari pecut Jamaica itu yang menjadi individu pertama memeluk Gatlin sebaik tamat perlumbaan.

“Saya OK walaupun dia menang. Saya sentiasa menghormatinya sebagai pencabar. Dia berhak untuk berada di sini, dia bekerja keras untuknya,” kata Bolt.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");