shadow

KUALA LUMPUR: Impak populariti yang diraih selepas membintangi drama rantaian, Mencintaimu Mr Photographer membawa tuah kepada Hannah Delisha apabila dilamar membintangi filem terbaru arahan Osman Ali.

Hannah atau nama lengkapnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 21, mengakui teruja untuk membintangi filem berjudul Langsuir yang dijadualkan memulakan penggambaran pada bulan depan.

“Perasaan bercampur baur kerana ini pengalaman pertama saya berlakon filem. Saya masih baharu dan pengalaman dalam dunia lakonan juga masih cetek, namun agak bertuah apabila mendapat kepercayaan besar ini.

“Banyak perkara yang bermain dalam fikirkan saya ketika ini. Sudah pasti, saya bertekad untuk membuktikan kemampuan sebenar kerana peluang seperti ini jarang diperoleh terutama bakat baharu,” katanya, menurut laporan dari BH Online.

Pelakon asal Singapura itu berkata, penggambaran filem itu akan dilakukan di Pulau Langkawi, Kedah dan bergandingan dengan seorang pelakon lelaki yang masih dirahsiakan.

Biarpun dilihat semakin mendapat tempat sebagai pelakon, Hannah masih belum melupakan minatnya terhadap nyanyian. Hannah yang mula mencari peluang sebagai penyanyi pada usia 17 tahun akan tampil dengan single keempatnya, Masih Ada Esok.

Hannah yang dinobatkan sebagai Personaliti Wanita Paling Popular pada Pesta Perdana 2017 di Singapura pernah muncul dengan single Retak, Anugerah dan Tak Perlu Kata Apa Apa. Percubaan itu bagaimanapun, gagal menyerlahkan namanya.

Hannah ditemui ketika hadir memberikan sokongan kepada pertandingan Air Asia Runway Ready Designer Search 2017 sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

Pusingan akhir itu menyaksikan 20 bakat muda dari 10 negara Asean mempamerkan bakat rekaan mereka yang berteraskan budaya Asia.

Peserta dari Vietnam, Tran Thi Tu diumumkan sebagai pemenang, sekali gus meraih peluang mempamerkan koleksi penuhnya pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun depan.

Dia juga menerima wang tunai RM25,000 tajaan FashionValet bagi menghasilkan koleksi kapsul untuk dipasarkan dalam talian sesawang portal terbabit.

Malaysia diwakili dua peserta iaitu Andry Low dan Phynix Tan Pek Han.

Komen & Pendapat