Isu Panas

Isu MBI, Unisel Dan JNSB: SPRM Beri Amaran Jangan Buat Kenyataan Media

KUALA LUMPUR – Pegawai-pegawai kanan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak semalam lantang memburuk-burukkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berikutan tindakan SPRM menyiasat skandal salah guna kuasa membabitkan pejabat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Universiti Selangor (Unisel) dan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB).

Antaranya Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong yang mendakwa tindakan SPRM menyerbu masuk ke UNISEL dan pejabat MBI sebagai satu salah guna kuasa.

Beliau malah mendakwa kononnya serbuan oleh SPRM bagi menyiasat skandal wang dipercayai membabitkan puluhan juta ringgit itu tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Hari ini, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei menuduh kononnya siasatan SPRM keatas skandal itu siasatan terpilih dan `double standard’.

Kedua-dua mereka terlebih dahulu mendakwa tidak berlaku salah guna kuasa dalam urusan membabitkan MBI, Unisel dan Jana Niaga sedangkan SPRM baru sahaja memulakan siasatan.

Ironinya, pemimpin pembangkang memuji-muji tindakan SPRM jika menyiasat pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan melenting jika mereka disiasat.

Berikutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Putrajaya, Datuk Dzulkifli Ahmad menerusi kenyataannya memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung kes yang sedang disiasat.

SPRM mendapati perkara tersebut telah menjadi satu trend atau amalan ketika ini dan menasihati mereka yang berkenaan supaya memberhentikan perbuatan tersebut kerana ia boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan.

SPRM memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 48(h) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang menjelaskan bahawa “mana-mana orang yang mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan atau cuba untuk mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan mana-mana orang yang terlibat dalam penyiasatan di bawah Akta ini telah melakukan satu kesalahan.”

Mana-mana individu atau pihak yang mempunyai sebarang keterangan yang boleh membantu siasatan diminta tampil kepada SPRM untuk dirakam percakapan dan bukan membuat kenyataan media.

Justeru, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 48(h) ASPRM yang mana seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara dua tahun.

Selain itu, SPRM juga memandang serius perbuatan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh SPRM dengan tujuan untuk mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

Oleh yang demikian, SPRM tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian dan bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebarkan fitnah tersebut sama ada berbentuk sivil atau jenayah.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");