Berita Hari Ini

Jabatan, Agensi K’jaan Diminta Bijak Guna Media Sosial

KOTA BHARU – Jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan yang beroperasi di Kelantan perlu bijak memanfaatkan media sosial bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat berkata saluran itu adalah platform terbaik untuk menyampaikan dasar semasa kerajaan kerana ia lebih cepat, berkesan dan meluas.

“Kajian pada Januari 2017 menunjukkan Malaysia berada di tempat ke-16 di dunia bagi kadar penembusan internet dengan 22 juta daripada 30.96 juta rakyat di negara ini adalah pengguna aktif jalur lebar dan media sosial.

“Justeru itu, ketua-ketua jabatan perlu menggunakan sepenuhnya media sosial untuk menyampaikan segala maklumat berkaitan perancangan kerajaan kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Media Sosial Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Sri Tunjong, Kompleks Jabatan Pendidikan Kelantan di Tunjong di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia Kelantan Azahar Ismail serta Pengurus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kelantan Fadli Yusuf.

Seminar sehari itu dihadiri kira-kira 1,000 penjawat awam yang didedahkan tentang kepentingan media sosial dalam mengekalkan kerajaan sedia ada, media sosial dalam perspektif perundangan dan penguatkuasaan dan ancaman jenayah siber dan cara mengatasinya.

Sementara itu, Azahar berkata jabatan dan agensi kerajaan juga perlu bijak menggunakan media sosial bagi menangkis isu dan tohmahan terhadap kerajaan dan pemimpin oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Kita tidak mahu ada yang terpengaruh dengan anasir luar yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memecahbelahkan perpaduan di negara kita.

“Ini kerana pihak berkepentingan ini akan menggunakan platform media sosial bagi mencipta isu perkauman, ekonomi, keselamatan dan mengapi-apikan rakyat sekaligus meretakkan perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");