Perak Hari Ini

Jalan Rosak, Tampal ‘Cukup Syarat’ Undang Kemarahan Orang Awam

IPOH:Jalan raya merupakan kemudahan awam yang amat penting kerana ia digunakan oleh semua orang pada setiap hari sepanjang tahun.

Malah ia menjadi antara kemudahan yang sentiasa menjadi perhatian orang ramai dan antara masalah yang sering diadukan ialah isu kesesakan dan kerosakan.

Namun, tinjauan mendapati banyak jalan raya di sekitar bandaraya Ipoh yang rosak terutama berlubang-lubang dan tidak rata sehingga menjejaskan kelancaran trafik.

Bagi kawasan Medan Ipoh Bestari, timbul tanda tanya orang ramai dengan kewujudan ‘lubang besar’ yang dikorek pemaju dan kini ia telah menjejaskan struktur jalan tersebut keseluruhannya.

Kebanyakan jalan di kawasan itu beralun dan berlubang serta tidak rata disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan tidak sempurna dan ada kemungkinan ia turut berkaitan dengan kualiti bahan yang digunakan.

Menurut orang awam di kawasan itu, lubang yang pada mulanya kecil boleh menjadi besar dalam masa yang singkat sahaja disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.

Kata mereka, dapat dilihat bahawa tar digunakan sama ada tidak berkualiti atau kuantitinya kurang sehingga tidak mampu memegang kukuh batu kerikil yang digunakan.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Catherine berkata, lubang besar itu biarpun ditutupi semula namun ia menjadi beralun dan menyukarkan kenderaan melaluinya.

“Inikah kualiti kerja penyelenggaraan jalan di Malaysia sampai bila kita perlu berhadapan dengan kualiti perkhidmatan sebegini? rakyat semakin muak dengan situasi ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Khairul Azhar Kamaruddin berkata, terdapat beberapa jalan di sekitar kawasan Medan Ipoh Bestari yang berlubang teruk telah ditampal bagaimanapun tidak menggunakan kaedah yang sesuai dan berkualiti.

Katanya, banyak juga jalan di kawasan itu tidak ditampal dengan betul terutamanya selepas kerja-kerja mengorek menyebabkan ia tidak bertahan lama.

“Kalau setakat tampal ikut syarat sahaja hanya akan buat orang awam ini marah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");