Berita Hari Ini

Jangan Buat Amalan Jejaskan Haji Mabrur

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan jangan terikut-ikut dengan perbuatan atau amalan sesetengah jemaah lain yang dibimbangi menyalahi hukum syarak sekali gus boleh menjejaskan matlamat mereka untuk memperoleh haji mabrur.

Ketua Pakar Rujuk Musim Haji 1438 Hijrah, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz berkata sekiranya jemaah Malaysia mempunyai keraguan terhadap sesuatu perkara atau amalan, mereka boleh merujuk kepada Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas) di maktab penginapan masing-masing.

“Kalau kita berpegang kepada asas ilmu betul, insya-Allah selamat. Kalau ada keraguan atau kesamaran, jangan segan dan malu untuk merujuk kepada Pihtas, mereka boleh menjelaskan yang mana boleh dan tidak boleh berdasarkan sumber ilmu yang ada,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jemaah Malaysia seharusnya sudah mempunyai perancangan ketika tiba di Tanah Suci untuk meningkatkan lagi ibadah, dan jika berhasrat menziarah tempat-tempat di kota suci ini, mereka perlu tahu tempat yang sepatutnya untuk berbuat demikian.

“Kalau jemaah menghayati kandungan kursus-kursus yang diadakan Tabung Haji, saya yakin mereka dapat mengatur agenda di Tanah Suci…apa agenda ibadahnya, dia kena tahu mana tempat-tempat disunatkan ziarah, mana tempat tidak sepatutnya diziarahi dan apa adab-adab ziarah.

“Kesemua itu diterangkan dalam siri kursus dan bahan terbitan yang dikeluarkan oleh Bahagian Bimbingan Haji,” katanya yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain Wan Mohamad, dua lagi pakar rujuk haji adalah bekas Mufti Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Mohd Noh Gadut dan bekas pensyarah fiqah Universiti Malaya Dr Anisah Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Wan Mohamad turut mengingatkan jemaah haji Malaysia supaya memberi fokus untuk melakukan ibadah di Tanah Suci ini, yang menawarkan ganjaran hebat kepada mereka yang menunaikan amalan tersebut.

“…bukan maksudnya kita tidak boleh lakukan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan haji atau umrah. Memang hati kita terpaut, sayang dan kasih kepada kaum keluarga, saudara-mara, jiran dan sahabat, ingin bawa balik cenderamata…itu memang bagus, satu sunnah nabi dengan memberi hadiah.

“Tapi kita harus ingat, kalau nak membeli-belah di kota mana pun di dunia boleh, tapi anda tidak boleh lakukan ibadah seperti ini di kota lain. Kita kena fokus kepada ibadah lebih utama…yang lain itu benar ada ganjarannya tetapi bukanlah sesuatu yang utama sehingga menjejaskan agenda utama kita berada di sini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah Malaysia supaya tidak mengorbankan agenda lebih utama di Tanah Suci ini, yang mempunyai dua masjid paling agung – Masjidil Haram (Makkah) dan Masjid Nabawi (Madinah) – yang menawarkan ganjaran pahala besar, sedangkan mereka sudah bersusah payah untuk berada di dua kota suci itu – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");