Sukan Hari Ini

Jangan Buat Hal Lagi- Ong Kim Swee

KETUA Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee berharap tidak timbul lagi masalah pelepasan pemain selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) akan dihentikan seketika bermula 5 Ogos ini sehingga selesai Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bagi Kim Swee, pasukan negeri sudah tiada alasan lagi untuk ‘menyimpan’ pemain mereka, sebaliknya perlu memberi kerjasama bagi membolehkan beliau membentuk skuad yang mantap dalam usaha merebut ibu segala pingat pada temasya serantau itu

“Saya memang mengharapkan tiada lagi masalah yang akan dihadapi untuk mengumpul pemain bagi menghadapi Sukan Sea selepas liga berehat selama sebulan nanti.

“Untuk enam pemain yang gagal melapor diri sebelum ini, saya masih mengulangi pendirian untuk menerima mereka kembali memandangkan mereka masih penting untuk memperkuatkan pasukan dalam kejohanan ini.

“Saya juga akan meneliti lebih ramai pemain dalam aksi Piala Malaysia sebelum mengumumkan senarai penuh pemain pada Khamis ini (esok),” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Sebelum ini, persiapan skuad B-22 bagi mengharungi kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 berdepan masalah apabila beberapa pasukan seperti Pulau Pinang, Pahang dan Johor Darul Ta’zim berkeras untuk tidak melepaskan pemain mereka susulan pertindihan jadual dengan aksi domestik.

Situasi itu memaksa Kim Swee melupakan khidmat enam pemain dan selepas dibelenggu masalah kecederaan, Kim Swee sekadar membariskan 22 pemain bagi mengharungi pusingan kelayakan di Bangkok.

Namun kelmarin, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan yang Kim Swee tidak berdepan masalah menghimpunkan barisan pemain terbaik pada masa sama mengesa pasukan negeri melepaskan pemain bagi menyertai latihan pusat skuad B-22 memandangkan tiada lagi aksi Liga M yang berlangsung ketika saingan KL2017 bermula.

Dalam pada itu, mengulas mengenai harapan meraih ibu segala pingat pada kejohanan tersebut, Kim Swee enggan meletakkan harapan terlalu tinggi.

Sebaliknya, beliau mahu lebih realistik untuk memberi tumpuan kepada satu-satu perlawanan terlebih dahulu.

“Sudah tentu ramai yang mengharapkan pingat emas tahun ini. Begitu juga saya. Siapa yang tidak mahukan pingat emas?. Tetapi bagi saya masih terlalu awal untuk membicarakan soal pingat.

“Apa yang penting ialah kami perlu menghadapi perlawanan peringkat kumpulan dan melepasi peringkat separuh akhir terlebih dahulu. Tiada guna jika kita bercakap soal pingat emas jika kita gagal melepas peringkat kumpulan,” katanya yang menganggap Thailand, Vietnam dan Indonesia sebagai pencabar utama yang boleh meleburkan harapan Malaysia meraih emas tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");