Berita Hari Ini

Jangan Letak Calon Luar

PARIT BUNTAR – Umno bahagian Parit Buntar meminta kepimpinan tertinggi parti itu memilih calon tempatan yang bekerja kuat untuk menghadapi PRU14.

Ketuanya, Datuk Abu Bakar Md Ali berkata, kepimpinan Umno Pusat turut digesa tidak lagi meletakkan calon luar kerana ia bakal membantutkan peluang parti itu untuk merampas kembali kerusi Parlimen Parit Buntar dan dua Dun dari tangan parti pembangkang.

Menurutnya, Umno bahagian itu sebenarnya memiliki ramai pemimpin berkualiti dan sentiasa bekerja kuat mendekati rakyat bagi memenangkan Umno dan BN.

“Atas faktor itu, kita tidak mahu ada sebarang usaha untuk membawa masuk calon luar bertanding di Parlimen Parit Buntar kerana berdasarkan sejarah terdahulu, kehadiran mereka tidak banyak membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.

“Selama ini, kepimpinan Umno bahagian yang sentiasa bekerja keras masuk ke setiap pelosok kampung bagi mendengar masalah rakyat.

“Kita tidak mahu lagi bila kepimpinan bahagian bersusah payah bekerja untuk parti, akhirnya orang luar dipilih menjadi calon dan pemimpin bahagian berpotensi tidak diberi peluang,” katanya.

Abu Bakar berkata, meskipun sudah dua kali kalah pada PRU terdahulu, beliau bersedia menawarkan diri untuk bertanding pada PRU14.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian itu, Abdullah Salleh mengakui terdapat khabar angin mengatakan kemungkinan calon luar dari golongan profesional dipilih bertanding di kerusi Parlimen Parit Buntar.

Menurutnya, sebagai kawasan luar bandar, Parlimen Parit Buntar sepatutnya mempunyai pemimpin marhaen.

“Berikutan itu, saya fikir latar belakang pendidikan dan pekerjaan tidak sepatutnya dijadikan kelayakan utama calon Parlimen Parit Buntar.

“Tetapi ciri-ciri pemimpin marhaen yang dekat di hati penduduk di samping memahami keperluan mereka terutama petani, sewajarnya menjadi syarat utama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");