Membawang Hari Ini

‘Kembar’ Faizal Tahir Diminta Jangan Salah Guna Nama

PENYANYI Faizal Tahir berharap pelawak yang dikatakan mempunyai wajah seakan-akannya iaitu Joe Aziz tidak menggunakan kelebihan tersebut dengan cara yang salah.

Faizal atau nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, juga memuji Joe yang sentiasa membawa nama Faizal dengan baik biarpun bukan kehendak Faizal sendiri.

“Ada orang beritahu yang ada seorang pelawak ini mempunyai wajah yang seakan-akan saya. Tapi saya tidak ada masalah jika ada yang mengenali atau melihat dia sebagai saya.

“Cuma saya harap dia tidak menggunakan kelebihan itu dengan cara yang salah sehingga menjatuhkan nama saya.

“Buat masa ini tak dengar lagi benda yang buruk tentang saya, jadi maknanya dia membawa imej dan wajah saya dengan baik,” kata Faizal dipetik dari laman portal mStar Online.

Terdahulu, menerusi laporan mStar Online pada 3 Ogos lalu, Joe memberitahu ramai orang salah faham dengan wajahnya dan Faizal Tahir kerana wajah mereka seiras.

Berikutan itu, macam-macam masalah dihadapinya apabila dia sering kali menjadi tumpuan ataupun dikerumuni orang ramai.

Sementara itu, selaku duta program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Faizal menyeru golongan belia yang belum ada pekerjaan untuk hadir ke program temu duga terbuka yang dianjurkan pihak SL1M dengan kerajaan Melaka.

Menurut penyanyi lagu Assalammulaikum ini, program tersebut adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu generasi Y yang memerlukan sumber pendapatan.

“Program temu duga terbuka ini adalah peluang untuk golongan belia yang masih belum mempunyai pekerjaan.

“Malah ia salah satu inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk menolong anak-anak muda yang masih mencari-cari syarikat yang bersesuaian dengan kemahiran mereka,” ujarnya.

Selain Faizal, selebriti yang turut terlibat dalam program tersebut ialah kumpulan zero, SonaOne, Joe Flizzow, Altimet dan Syamel.

Mereka akan membuat persembahan dan akan berkongsi pengalaman juga motivasi.

Ia akan diadakan pada 26 dan 27 Ogos depan di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayeh Keroh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");