Berita Hari Ini

Kerajaan Perlukan Khidmat Saya- Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Tan Sri Md Raus Sharif hari ini mengakui bahawa pelantikannya semula sebagai Ketua Hakim Negara “belum pernah berlaku dahulu” tetapi menyatakan ia masih mengikut Perlembagaan.

Md Raus yang dilantik semula ke jawatan itu selama tiga tahun berkuatkuasa pada 4 Ogos berkata mengapa beliau harus menolak pelantikan itu sedangkan kerajaan berpendapat bahawa ia memerlukan khidmatnya.

Beliau berkata pelantikan itu adalah mengikut Perlembagaan kerana ia melalui proses tersebut lapor Bernama.

“Proses itu dilakukan dengan sempurnanya. Jadi, soalan menolak jawatan tersebut tidak timbul,” kata beliau pada sidang media ketika ditanya mengenai pelantikan semula beliau selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada kakitangan mahkamah di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada ini adalah kali pertama di negara ini, seorang Ketua Hakim Negara yang telah mencapai umur 66 tahun dan enam bulan, dilantik semula untuk jawatan yang sama, Md Raus berkata sentiasa ada kali pertama untuk segala-galanya.

“Bila benda itu jadi first time banyaklah perbezaan pendapat. Tapi kita kena menghormati pandangan daripada semua pihak. Peguam bila datang ke mahkamah satu isu, peguam itu kata macam ini, peguam itu kata macam itu.

“Anda perlu melantik seseorang untuk membuat keputusan. Samalah kerajaan berpendapat benda ini boleh dibuat, Majlis Peguam kata tidak boleh buat, maka adalah orang yang akan memutuskan siapa yang benar siapa dan siapa yang tidak benar. Itu proses biasa. Ini belum pernah berlaku dahulu tetapi sudah tentu ada pandangan yang bercanggah mengenai perkara ini,” katanya.

Mengenai mesyuarat agung tergempar (EGM) Majlis Peguam pada 3 Ogos yang meluluskan usul bahawa pelantikannya tidak mengikut perlembagaan, Md Raus berkata beliau menghormati pandangan badan peguam tetapi badan peguam juga perlu menghormati pandangan dari mahkamah.

“Ada dua pandangan mengenai perkara ini, sama ada ia tidak mengikut Perlembagaan, atau sebaliknya. Jadi mereka boleh memfailkan kes di mahkamah. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan siapa yang benar, siapa yang salah,” kata beliau.

Kepada soalan lain bahawa anggota Badan Peguam dinasihatkan tidak menghadiri mana-mana acara sosial oleh mereka (Md Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin) dan Badan Peguam juga tidak akan menjemput mereka ke acara sosialnya, Md Raus berkata beliau tidak menghadapi masalah mengenai perkara itu kerana beliau menghormati pandangan pihak lain.

“Tidak ada banyak acara sosial dianjurkan oleh Badan Peguam. Setahu saya, acara itu ialah majlis makan malam anjuran badan peguam dan Sukan antara Badan Peguam dan Badan Kehakiman.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menganjurkan Sukan antara Badan Peguam dan Badan Kehakiman selepas ini, tetapi kita akan menjemput mereka contohnya seperti acara Tahun Perundangan kami akan menjemput mereka sama ada mereka hendak hadir, itu terserah kepada mereka,” kata beliau pada sidang media yang berlangsung dalam suasana mesra.

Ketika ditanya mengapa majlis mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, berlangsung pada pukul 10 malam semalam, beliau berkata tidak ada apa yang mencurigakan mengenai perkara itu.

“Masa itu ikut kesesuaian masa Yang di-Pertuan Agong. Pejabat Perdana Menteri telah berhubung dengan Istana Negara bahawa majlis akan diadakan pada Jumaat, semuanya sudah dirancang, cuma time sahaja yang jadi isu,” kata beliau.

Malam tadi, Md Raus mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos. Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Istana Negara.

Pada 1 April lepas, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14, menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada umur 66 tahun dan enam bulan pada 31 Mac lepas. Umur persaraan bagi hakim ialah 66 tahun.

Tempoh perkhidmatan Md Raus sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum ini dilanjutkan selama enam bulan dari 4 Feb hingga 3 Ogos. Pada tempoh sama, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 1 April.

Pada 7 Julai, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");