KUALA LUMPUR: Pencapaian lima pingat emas dan tiga gangsa di Sukan SEA 2017 yang melabuhkan tirainya semalam, boleh dianggap sebagai kejayaan luar biasa oleh skuad luncur ais negara yang tampil julung kali di temasya itu.
Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Mohamad Fadzli Johan, berkata pencapaian itu jelas melebihi sasaran awal tiga emas dan kini apa yang perlu adalah sokongan berterusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
“Selama ini banyak pengorbanan dari segi wang ringgit yang dilakukan ibu bapa atlet sendiri, saya berharap sekurang-kurangnya dengan kejayaan ini membuka mata MSN sebab sukan ini mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Tiga daripada lima pingat emas itu hadir menerusi Anja Chong yang memenangi acara 500 meter short track, 1000m short track dan 3000m berpasukan sekali gus menyaksikannya diangkat sebagai ratu luncur ais di temasya ini.
Jelas Fadzli, dia berpuas hati dengan persembahan atletnya dan menyifatkan kehadiran jurulatih dari Korea Selatan Lee Ho Eung sebagai kunci di sebalik kejayaan itu.
“Singapura menjadi pilihan kali ini tetapi strategi jurulatih Lee berjaya melumpuhkan peluncur utama lawan sekali gus membuktikan pengalamannya memainkan peranan penting dalam kejayaan kita menyapu lima emas.
“Dia (Lee) yang merancang strategi dan menyusun barisan peluncur terutama dalam acara 3000m berpasukan selepas mengkaji kekuatan lawan di pusingan latihan bebas,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Fadzli tidak menolak kesilapan terlalu memandang rendah Thailand menyebabkan skuad luncur ais negara sedikit ‘tenggelam’ dalam kategori lelaki apabila hanya meraih emas menerusi acara 3000m berpasukan.
“Individu lelaki kita terlepas emas kerana kita hanya terlalu fokus kepada Lucas Ng dari Singapura, kita tidak menyangka yang Thailand juga mempunyai peluncur hebat.
“Itu kesilapan pasukan kita, tetapi kami memang tidak mengetahui mengenai peluncur Thailand itu kerana dia sebelum ini berpangkalan di Itali… Kita tiada rekodnya.”
Selepas ini, tiga peluncur negara – Anja Chong, Devin Wong dan Ariff Rasydan Mohamad Fadzli – akan meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 menerusi empat kelayakan Piala Dunia di Budapest, Dordrecht, Shanghai dan Seoul.