Membawang Hari Ini

Kolaborasi Pertama Jac Puji Suara Nana

Berikutan nota suara yang hampir sama, Jaclyn Victor pernah meragui duetnya bersama Siti Nordiana atau Nana menerusi lagu Nisan Cinta, tidak menjadi.

Bagaimanapun, tanggapan penyanyi berusia 39 tahun itu silap kerana lagu ciptaan Hael Husaini kini diminati ramai.

Pada mulanya Jaclyn berpendapat, gabungan dua penyanyi bersuara nyaring tidak menjadi dan bagaikan tidak kena.

“Tapi, untuk lagu ini, saya rasa saya silap sebab kami sebenarnya sesuai. Memang ada bahagian yang kami kena nyanyikan dengan nada tinggi, tapi ia bukanlah sekadar tarik suara saja.

“Kami sebaliknya perlu pastikan, suara itu kedengaran harmoni,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambahan pula, katanya, Nisan Cinta yang diiringi melodi piano dan gesekan biola mempunyai susunan muzik yang cukup harmoni dan sangat menyentuh perasaan.

“Lagu penting bila ia cepat tangkap. Maksud saya, bila dengar lagu itu, ia mudah melekat di telinga sekali gus menjadi pilihan.

“Jadi, ini memudahkan kami bawa lagu tersebut,” katanya dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Mengakui sangat berpuas hati dengan hasilnya, Jac menaruh keyakinan tinggi lagu itu mampu pergi jauh selain mendaki carta populariti.

Masakan tidak, Nisan Cinta juga menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri 100 episod Dendam Aurora, yang dibintangi Ungku Ismail Aziz, Nabila Huda dan Anzalna Nasir.

Bukan itu sahaja, juara program realiti Malaysian Idol musim pertama ini juga merasakan peminat akan menyokong gabungan suara mereka dan memberi sambutan terhadap lagu ini.

“Memandangkan ia dijadikan lagu runut bunyi dan ruang promosi yang diberi sangat besar, saya yakin lagu ini pasti hit,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Gemilang ini mengakui senang bekerjasama dengan Nana walaupun lagu itu dirakam secara berasingan kerana kekangan jadual kerja masing-masing.

“Semuanya berjalan dengan cukup lancar. Lagu ini pun dihasilkan dalam tempoh yang sekejap saja. Nana pun sangat sempoi dan saya tiada masalah untuk bekerja dengan dia. Dia juga bukanlah seorang diva,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");