Sukan Hari Ini

Kontinjen Sukan SEA Tidak Dibenar Masak Sendiri

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) tidak membenarkan mana-mana kontinjen yang menyertai Sukan SEA Ke-29 di sini bermula 19-30 Ogos ini untuk memasak dan menyediakan makanan sendiri sepanjang temasya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong berkata ia adalah bagi memastikan keselamatan dan menggelak atlet dan pegawai dari negara lain mengalami masalah kesihatan seperti keracunan makanan.

Lapor Bernama bagaimanapun beliau berkata, sekiranya kontinjen luar negara mahu membawa makanan tambahan, mereka harus mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengendalikan aspek kesihatan temasya berkenaan.

“Kita memang tidak benarkan kontinjen membawa tukang masak sendiri. Makanan di hotel yang menempatkan atlet adalah standard dimana kesemua 10 hotel menggunakan menu sama yang disediakan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) sepanjang dua minggu.

“Kita mengamalkan kawalan yang amat ketat terhadap persediaan makanan kerana kita tidak mahu dituduh menyediakan makanan yang tidak sesuai jika berlaku keracunan makanan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Seramai 4,888 atlet dari 11 negara Asia Tenggara akan menyertai 404 acara yang terdiri daripada 38 sukan pada temasya dwitahunan itu di mana pasukan tuan rumah Malaysia menjadi kontinjen terbesar dengan penyertaan 876 atlet.

Bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkata setiap negara akan ditempatkan di hotel bertaraf lima bintang kecuali Berjaya Times Square Hotel yang dikongsi oleh dua negara yang mempunyai kapasiti tinggi.

Menurut Zolkples, penggunaan hotel untuk menempatkan kontinjen adalah lebih mudah untuk pihak pengelola, kerana dilengkapi dengan kemudahan seperti makanan berkualiti, televisyen dan penyaman udara berbanding menubuhkan perkampungan sukan yang menelan kos besar.

“Sukan SEA tidak mewajibkan penubuhan perkampungan sukan yang perlu menempatkan semua atlet di sebuah perimeter. Sebelum ini ketika Malaysia menjadi penganjur pada 2001 dan 1989, kita juga telah tempatkan atlet di hotel kecuali Sukan Komanwel kerana harus ada perkampungan, maka kita bina Vista Komanwel ketika itu.

“Untuk edisi 1965 pula, kita pernah guna Universiti Malaya, tetapi keadaan sekarang berbeza kerana dulu bilik berkipas boleh digunakan oleh atlet, tetapi sekarang wajib ada penyaman udara. Bukan murah jika kita nak memasang penyaman udara untuk semua bilik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");