SHAH ALAM – Lelaki berjubah dan berpenutup muka bertindak mengacukan pisau terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun sebelum melarikan beg tangan milik ibunya.
Memetik laporan Sinar Harian kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang itu berlaku di sebuah surau di Seksyen 4, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian, ibu kanak-kanak terbabit berusia 24 tahun sedang solat di surau tersebut, manakala anaknya berehat di bilik rehat.
Menurutnya, ketika itu, beg tangan wanita terbabit berada bersama anaknya.
“Kemudian, datang seorang lelaki yang menutup muka dan berjubah telah memasuki bilik rehat dan mengacukan pisau kepada kanak-kanak lelaki itu.
“Suspek telah mengambil beg tangan tersebut dan kanak-kanak itu terus menjerit untuk bantuan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan pada kanak-kanak itu.
Pada keesokannya, kira-kira jam 8.30 pagi, seorang pemandu teksi berusia 57 tahun telah menelefon wanita terbabit mengatakan telah menemui beg tangannya di Kelana Jaya yang mengandungi kad pengenalan, Mykid, kad ATM dan kad daftar hospital.
Shafien berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau itu telah diambil untuk siasatan dan usaha menjejak suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.