Berita Hari Ini

Malaysia Gesa PBB ‘Redakan’ Ketegangan Baitulmaqdis Timur

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksana resolusi pertubuhan itu dalam isu keganasan dan ketegangan di Baitulmaqdis Timur.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata perkembangan di Baitulmaqdis Timur ketika ini amat membimbangkan berikutan rancangan Israel meningkatkan pembinaan unit perumahan kepada kadar lebih 30 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, rancangan terbaru itu dengan jelas pelanggaran terhadap Resolusi Keselamatan PBB 2334 (2016).

Sehubungan itu, katanya, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB memikul tanggungjawab dalam melaksanakan resolusi itu supaya tidak mengancam penyelesaian antara Israel dan Palestin.

“Malaysia percaya penyelesaian dua negara kekal sebagai yang paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, semalam.

Mesyuarat Luar Biasa itu bertujuan membincangkan perkembangan Al-Quds Al-Sharif, khususnya pelanggaran Israel terhadap kesucian Masjid Aqsa serta keganasan terhadap rakyat Palestin.

Anifah berkata, pertembungan antara pasukan keselamatan Israel dan Palestin pada 21 Julai lalu di Tebing Barat telah mengorbankan banyak nyawa dan jika tidak ditangani ia akan berterusan membawa penderitaan, kematian dan kemusnahan yang tidak terhalang.

“Malaysia meminta semua pihak mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan keganasan di Baitulmaqdis Timur,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penutupan Masjid Aqsa pada 14 Julai lalu oleh pihak berkuasa Israel dan tindakan provokasi itu adalah pelanggaran jelas terhadap kesucian tanah suci Islam.

Katanya, tindakan itu juga adalah pelanggaran serius terhadap hak umat Islam untuk beribadat secara aman, bebas daripada keganasan, ancaman dan provokasi.

“Kebebasan untuk beribadah adalah hak dijamin mengikut undang-undang antarabangsa. Kita mesti menentang sebarang pelanggaran hak terbabit.

“Oleh itu, Malaysia mengulangi gesaan supaya Israel menyediakan akses tidak terhalang ke Masjid Aqsa. Kesucian tempat ibadat harus dihormati dan dipelihara.

“Malaysia juga menggesa Israel untuk menghentikan semua aktiviti yang boleh memberi kesan mengubah status quo tanah suci Islam,” katanya.

Anifah berkata, Malaysia memuji dan menyokong usaha Raja Jordan yang juga Penjaga Tanah Suci Baitulmaqdis, Raja Abdullah bagi memulihkan keadaan di bandar suci itu.

Beliau berkata, terdapat 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia yang tidak boleh mengelak daripada berlaku salah faham.

“Umat ?Islam mesti dapat menyelesaikan masalahnya sendiri, sebelum dapat menghadapi cabaran yang lebih besar,” katanya.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");