Jenayah

Mangsa Bunuh Tak Sempat Jamah Masakan Ibu

KAPAR: Pengawal keselamatan yang ditemui maut dengan kesan tetak di seluruh badan tengah di sebuah pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan dekat sini, tengah hari semalam, dikatakan tidak sempat menjamah makanan tengah hari yang dibawa ibunya, Selasa lalu.

Bapa mangsa, Syed Mohd Ridhuan Syed Agil, 55, berkata, isterinya Wan Noor Hafidah Abu Hassan, 53, melakukan rutin biasa menghantar makanan kepada anaknya Syed Mohd Fazrul hampir setiap minggu.

“Hari Selasa lalu, ibunya nak hantar tetapi bila anak saya dihubungi melalui telefon, panggilan itu tidak dijawab, jadi dia terus ke sana.

“Bila sampai di pusat penyembelihan, isteri saya nampak bilik tempat anak dan adik ipar saya tinggal itu berkunci. Isteri saya ingat arwah keluar sebab kereta Proton Satria Neo miliknya pun tak ada. Jadi isteri saya terus balik.

“Tetapi tak sangka hari ini, kami mendapat berita kematiannya dan bapa saudaranya,” katanya kepada pemberita.

Syed Mohd Ridhuan berkata, anaknya bukan sahaja disenangi ahli keluarga malah juga majikannya.

Katanya, Syed Mohd Fazrul sudah bekerja dan tinggal di bilik yang disediakan di situ sejak kira-kira dua tahun lalu.

“Arwah jenis baik hati. Dia bantu kawan untuk kerja di tempat sama. Tetapi arwah agak pendiam dan tidak pernah cerita masalah kepada saya. Kali terakhir jumpa arwah pada 1 Syawal lalu ketika dia pulang bersama suspek,” katanya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata petang tadi, pihaknya sedang memburu seorang suspek berusia 30an, juga pengawal keselamatan di tempat yang sama yang menghilangkan diri.

Dalam kejadian itu, Syed Mohd Fazrul dan bapa saudaranya, Wan Amir Hamzah Abu Hassan, 48, ditemui pemilik pusat penyembelihan itu kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Sementara itu, bapa saudara kepada arwah, Zulkefli Abu Hassan, 55, berkata adik bongsunya Wan Amir Hamzah, 48, dijaga oleh arwah Syed Mohd Fazrul serta bekerja di tempat sama.

“Arwah yang nak jaga bapa saudara. Adik saya menghidap penyakit sawan tetapi tak serius. Mereka akan dikebumikan di Kampung Kuantan,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui pemilik pusat penyembelihan di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, selepas mereka gagal dihubungi sejak Selasa lalu.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");