Perak Hari Ini

MBI PBT Terbaik Seluruh Negara

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dinobatkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik seluruh negara bagi tahun 2016, dengan perolehan markah sebanyak 97.45 peratus.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata penilaian melalui Sistem Bintang PBT ini juga diambil kira beberapa aspek menerusi 354 kriteria.

“Kita ada 149 PBT seluruh negara dan untuk mendapat pencapaian lima bintang, ia harus mendapat markah melebih 90 peratus, dan hari ini Majlis Bandaraya Ipoh telah berjaya bukan sahaja mendapat pengiktirafan lima bintang malah muncul sebagai PBT terbaik seluruh negara”, katanya.

 

Tambah Noh, antara kriteria yang terlibat ialah dari segi aspek pengurusan kewangan, pengurusan kebersihan sampah, taman-taman awam, kemudahan insfrastruktur asas seperti lampu jalan dan jalan raya dan lain-lain.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis  Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Sesi 2017-2019 Dan Penganugerahan Penarafan Bintang PBT 2016 Negeri Perak, di Ipoh Convention Centre (ICC), di sini, pada Isnin.

Pada masa sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau menyambut baik keputusan tersebut dimana ia sekaligus membuktikan urus tadbir kerajaan negeri yang sedia ada adalah yang terbaik.

 

“Ini merupakan pencapaian yang baik, meskipun kita mendapat beberapa kritikan terhadap langkah kita untuk mensejahterakan negeri Perak ini seperti saya pernah turun padang dan menyertai aktiviti mengutip sampah namun hari ini, berkat usaha berterusan kita, ianya membuahkan hasil.

“Kejayaan ini juga membuktikan urus tadbir kerajaan negeri sekarang berada dalam keadaan baik kerana kalau kita lihat ketika penilaian ini dibuat pada tahun 2008, MBI hanya memperoleh tiga bintang dengan markah sekitar 70.85 peratus dan kini, untuk 2016 MBI memperoleh lima bintang,” kata Zambry.

Di samping itu, Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata saranan dari Menteri Besar yang mahu MBI sentiasa berada di tangga teratas ini merupakan satu cabaran yang akan disahut bersama-sama semua pihak.

 

“Kita akan beruasaha mengekalkan kejayaan ini untuk tahun 2017 ini dan pada masa sama juga kita memerlukan sokongan bukan sahaja dari warga MBI sahaja malah, sokongan dari warga Ipoh sendiri amat kita harapkan sebagai contoh melalui pengurusan kebersihan dan penjagaan harta benda awam”, katanya.

Selain MBI, Majlis Daerah Manjung, Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar turut mendapat pengiktirafan PBT lima bintang.

Majlis Daerah Tapah, Majlis Daerah Tanjung Malim, Majlis Daerah Perak Tengah, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, dan Majlis Daerah Gerik pula mendapat empat bintang manakala, Majlis Daerah Lenggong dan Selama mendapat tiga bintang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");