Berita Hari Ini

Md Raus Angkat Sumpah Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Tan Sri Md Raus Sharif malam tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun, berkuat kuasa hari ini.

Md Raus menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said; Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Pada 1 April lalu, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lalu.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, Md Raus sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan perkhidmatannya selama enam bulan dari 4 Februari ke 3 Ogos.

Pada tempoh sama, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 1 April.

Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Md Raus menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

 

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");