Jenayah

Mengaku Diragut Hanya Mahu Elak Denda IC Hilang

JOHOR BAHRU – Polis Johor menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan palsu mengenai kehilangan kad pengenalan mereka hanya kerana mahu mengelakkan daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata bermula Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 100 kes laporan palsu direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dengan 32 kes daripadanya telah dijatuhkan hukuman.

“Kami telah dakwa 32 individu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kami minta orang ramai jangan mereka-reka cerita yang tidak betul kerana kami akan siasat secara terperinci kerana ada kes yang betul-betul jadi mangsa, dan ada pula mereka yang cuba lari daripada denda JPN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke IPD JBS di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata setiap laporan yang dilakukan oleh pengadu akan disiasat oleh Pegawai Penyiasat sendiri yang pengadu akan dibawa ke lokasi yang mereka dakwa untuk ceritakan kembali kejadian.

“Selepas dibawa ke lokasi yang kononnya mereka disamun atau diragut, kebiasaannya kenyataan mereka ini akan bercanggah dengan laporan mereka, ada juga yang berpura-pura tidak ingat kejadian,” katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata daripada 100 laporan tersebut, 62 kes masih dalam siasatan dan enam kes kini masih dalam perbicaraan kerana pengadu tidak mengaku salah.

Menurut laman web JPN, kadar bayaran denda kehilangan kad pengenalan kali pertama telah ditetapkan pada kadar RM100, kali kedua RM300 dan kali ketiga RM1,000 tidak termasuk caj permohonan.

Bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan kali pertama, pemohon boleh terus ke kaunter JPN, manakala bagi permohonan kali kedua dan seterusnya, pemohon hendaklah membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut sebelum memohon di kaunter JPN.

Permohonan gantian hilang kad pengenalan kali ketiga dan seterusnya akan disiasat terlebih dahulu sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");