shadow

IPOH: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hari ini menyelar tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden kekacauan yang berlaku ketika program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam semalam.

Beliau berkata fitnah sebegitu tidak sepatutnya keluar dari mulut seseorang yang menjawat jawatan Menteri Besar.

“Saya ingat PKR hanya ada Rafizi Ramli sahaja yang terkenal sebagai ‘Raja Fitnah’, tapi hari ini saya lihat, perkara belum lagi disiasat, dia ( Azmin) terus buat tuduhan kepada kita dan juga kepada Perdana Menteri.

“Bagi saya, ia sebagai seorang Menteri Besar, dia sepatutnya tidak berbuat demikian”, katanya.

Ujar Noh, fitnah merupakan sesuatu yang sudah sebati kepada pemimpim pembangkang.

“Fitnah dan pembangkang ini tidak dapat dipisahkan kerana ia sudah sebati dengan mereka, cukup-cukuplah nak menabur fitnah dan menghasut rakyat.

“Macam Azmin, apa sahaja yang berlaku dituduhnya kita, seolah olah dia tidak ada kesilapan.

“Dia lupa yang dia sendiri pun banyak kesilapan dan kecuaian. Urus perumahan tak reti, urus sampah tak reti, urus PPR (Program Perumahan Rakyat) tak reti, urus air tak reti, malah urus pasukan bola sepak pun tak reti sehinggkan Selangor FA dianak-tirikan, ada stadium yang cantik dekat Shah Alam, tapi tak boleh main dekat tempat sendiri”, katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis  Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Sesi 2017-2019 Dan Penganugerahan Penarafan Bintang PBT 2016 Negeri Perak, di Ipoh Convention Centre (ICC), di sini, pada Isnin.

Selain itu, Noh juga berkata rakyat harus sedar dab lihat bagaimana permainan politik pemimpin pembangkang di mana menjadikan fitnah sebagai hujah mereka.

Azmin dalam laman blog peribadinya menuduh Najib sebagai penakut dan mendakwa sengaja menggunakan ‘gangsterime’ dalam program pembangkang itu yang di hadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Komen & Pendapat