Perak Hari Ini

Pembangkang Sengaja Politikkan Isu Perobohan Setinggan Changkat Larah

IPOH:Kerajaan Perak menyelar tindakan pemimpin pembangkang yang dengan sengaja mempolitikkan isu perobohan kawasan setinggan di Kampung Changkat Larah, Batu Kurau.

Kesal dengan sikap pembangkang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata perkara berkenaan hanya melibatkan keluarga terlibat, pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan pejabat tanah dan ia bukan isu politik.

“Tidak wajar dan kita tak perlukan pihak-pihak lain yang sengaja mengambil kesempatan kepada isu ini.

 

“Kita sudah pun ada alternatif dan beberapa tindakan susulan demi membela kebajikan sembilan keluarga yang terlibat ini”, katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Amin berkata beberapa siri rundingan telah diadakan bersama pihak penduduk serta pemaju.

Jelas beliau, setakat ini pihak pemaju bersetuju untuk menangguhkan tempoh pemindahan penduduk berkenaan sehingga 30 September 2017.

 

“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Larut Matang dan Selama untuk memindahkan mereka ke kawsan kampung tersusun yang terdekat iaitu, Kampung Relung.

“Namun, masalah yang timbul di sini, kita boleh sediakan tanah tapi mereka tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membina rumah baru kerana rata-rata mereka ini melakukan kerja kampung.

“Atas sebab itu juga kita telah mengadakan rundingan dengan beberapa pihak seperti pihak pemaju dan agensi-agensi kerajaan lain untuk membantu mereka membina rumah baru,” ujarnya.

 

Selain itu, Amin juga berkata, Kerajaan Negeri juga telah meminta agar pemaju merizabkan satu kawasan dan diberikan hak milik terus kepada penduduk setinggan yang terlibat.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan penduduk kawasan tersebut diarahkan agar berpindah dan rumah mereka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan perumahan yang sedang dilaksanakan.

“Tanah yang mereka duduk itu merupakan hak milik pemaju tersebut dan sekarang ini kita sedang cuba untuk membela nasib sembilan keluarga serta tiga lagi keluarga, di atas tanah pemaju lain, namun kita hanya bersedia jika mereka juga diarahkan berpindah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");