Berita Hari Ini

Pembuli Perlu Dibuang Sekolah – Mahdzir

PASIR PUTEH: Kementerian Pendidikan mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelajar yang terbabit dengan kes buli, termasuk buang sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata menerusi pendekatan tegas itu  dijangka mampu mengekang atau membendung gejala buli yang kini semakin membimbangkan.
“Saya kecewa… dalam pada kita bercakap berhubung kes buli, masih ada kes baharu dilaporkan berlaku iaitu di Kolej Vokasional, Terengganu.
“Pada saya, setakat ambil tindakan menggantung selama 10 hari kepada pembuli ini tak payahlah, kerana mereka tidak ambil iktibar dan tidak makan saman.
“Justeru, apa sahaja hukuman yang dijatuhkan, saya tetap menyokongnya dan perlu ambil tindakan yang paling keras termasuk buang sekolah,” katanya menurut BH Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima di sini, hari ini.
Ia turut dihadiri, Ketua Wanita UMNO bahagian, Zurina Ripin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Mohamad Yusri Ismail.
Mahdzir berkata, semua pihak kepimpinan pendidikan di negara ini perlu mengkaji dan melihat semula peraturan serta hukuman sedia ada kerana jelas tidak begitu berkesan.
“Ibu bapa juga harus diberikan kefahaman bahaya dan kesan buli di mana mereka wajar menerima apa sahaja hukuman dikenakan sekiranya anak mereka terbabit sebagai pembuli,” katanya.
Media  sebelum ini melaporkan, dua pelajar tahun satu sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus, Terengganu cedera selepas dibelasah hampir 20 pelajar senior awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu menyebabkan pelajar berusia 16 tahun terbabit cedera di belakang badan dan kaki.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");