Berita Hari Ini

Peniaga Akur Premis Dirobohkan

AMPANG: Seramai 39 pemilik premis di persimpangan selekoh Kampung Pasir, Ukay Perdana, Hulu Klang di sini, akur dengan tindakan perobohan yang dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Hasil Persekutuan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Mohd Rashidi Ruslan berkata, operasi ini bertujuan mengosongkan kawasan kedai yang terdapat di selekoh persimpangan bagi projek Persekutuan iaitu Projek Lebuhraya East Klang Valley (EKVE) dapat dijalankan segera.

“Operasi ini adalah operasi kali kedua selepas operasi pertama pada 1 Ogos lalu ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata, tapak ini telah dibuat pengambilan tanah oleh kerajaan dan bayaran pampasan telah diberikan kepada semua pihak yang berkepentingan di atas tapak tersebut.

“Namun begitu, apabila projek hendak dilaksanakan didapati 39 premis telah menduduki tapak ini tanpa kebenaran sah oleh pihak kerajaan. Notis pengosongan tapak telah dikemukakan kepada semua pemilik pada 20 Ogos 2016 dan 20 Jun lalu oleh Pejabat Tanah dan Daerah Gombak. Bagaimanapun, premis-premis tersebut masih belum dikosongkan oleh semua pemilik dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, operasi pada kali ini adalah selaras dengan Seksyen 426A, Kanun Tanah Negara 1965.

“Kerajaan Persekutuan telah mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan telah bersetuju untuk menjalankan operasi untuk pengosongan kawasan ini dengan kadar segera,” katanya.

Menurutnya, pihak konsesi iaitu Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM8,000 kepada setiap pemilik struktur berdasarkan budi bicara dengan persetujuan Mesyuarat MTES.

“Projek ini perlu dilaksanakan segera kerana ia telah lewat jadual selama 10 bulan berikutan pendudukan secara tidak sah ini.

“Perlaksanaan projek ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan beri manfaat kepada penduduk kawasan sekitarnya,” katanya.

Lapor Sinar Harian, turut hadir, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Addy Hissham Elias.

Dalam pada itu, Koordinator Pembangunan Persekutuan N18 Dun Hulu Kelang, Ismail Ahmad berkata, para peniaga membangkitkan agar diberi wang sagu hati yang lebih munasabah agar dapat meneruskan mata pencarian rezeki.

“Kita akan cuba bincang lagi dengan AZRB supaya wang saguhati dapat ditambah agar pemilik premis ini rasa nasib mereka terbela setelah usaha mereka berniaga selama 30 tahun musnah sekelip mata,” katanya.

Tambahnya, harapan peniaga untuk dapat tapak ganti berkemungkinan tipis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");