Berita Hari Ini

Pesara ATM Berpencen Tunggu Pengumuman Insentif

PEKAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan insentif bagi pesara berpencen pada pembentangan Bajet 2018, Oktober ini.

Ketua PVATM Pekan, Leftenan Kolonel (B) Zulkiffly Mohd Tahir, berkata pengumuman lima insentif oleh Najib pada Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 hujung bulan lalu, dilihat hanya bertumpu kepada pesara yang tidak mendapat pencen dan pegawai serta anggota kelainan upaya.

“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu atas dasar setia kawan sesama warga pesara ATM seluruh negara.

“Kami percaya Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan beberapa inisiatif yang disuarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebelum ini dan mengumumkannya pada sesi pembentangan Bajet tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini, lapor BH Online.

Zulkiffly berkata, antara yang perlu diberi perhatian ialah kadar pencen bekas pegawai ATM berkhidmat pada 1960-an hingga 1990-an yang jauh lebih rendah berbanding pencen anggota berpangkat Koperal ketika ini.

Katanya, jurang perbezaan kadar pencen itu amat jauh sedangkan tugasan mereka lebih berisiko dengan pelbagai ancaman komunis dan peristiwa konfrontasi antara Malaysia dan negara jiran ketika itu.

“Kita semua menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Ancamannya mungkin berbeza mengikut perkembangan semasa dan tidak sepatutnya pencen antara pegawai dan anggota zaman dulu dengan sekarang dibezakan.

“Kerajaan juga diminta mempertimbangkan kadar kenaikan pencen tahunan daripada dua peratus ketika ini kepada tiga peratus.

“Begitu juga pengumuman kuota menunaikan haji yang dinaikkan daripada 100 kepada 400. Jika boleh, PVATM Pekan berharap 400 daripadanya turut dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam Program Ibadat Haji Perdana Menteri 1MDB,” katanya.

Jika sebelum ini hanya imam, bilal dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dipertimbangkan menyertai program haji 1MDB, beliau berharap ada dalam kalangan ahli PVATM turut dipilih menyertai program sama.

“Ini adalah antara luahan kira-kira 15,000 ahli PVATM seluruh negara dan kita yakin kerajaan mendengar luahan kami,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");