Isu Panas

PRU: Pas Enggan Jadi Kuda Tunggangan

SHAH ALAM – Pas mendakwa sebarang perbincangan kerjasama pilihan raya yang kononnya untuk menjatuhkan BN sebenarnya bertujuan menyelamatkan kerusi parti tertentu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jentera pilihan raya Pas akan sekali lagi menjadi kuda tunggangan seperti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

“Apabila mereka berjaya memenangi kerusi, sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi.

“Pas akan diserang lagi dengan tuduhan dan tohmahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu setelah usul itu diterima sebulat suara dalam Muktamar Pas ke-63 di Kedah.

Bagaimanapun, kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, parti itu masih membuka pintu kerjasama dengan Pas bagi menghadapi PRU14.

Mohamed Azmin berkata, kedua-dua parti mempunyai objektif yang sama iaitu menewaskan Umno dan BN, namun setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan.

Khairuddin berkata, negara perlu diselamatkan daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial dengan Islam.

Namun, katanya, Pakatan Harapan bukan wadah untuk menyelesaikan masalah negara dengan Islam.

“Pas terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera dan Dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera.

“Ucapan dasar Presiden Pas dalam muktamar lalu bertajuk Sejahtera Bersama Islam sedang dihayati oleh ahli dan pimpinan Pas di semua peringkat bagi menghadapi PRU14,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");