Sukan Hari Ini

PSM Kesal Tiada Teknologi Ulang Tayang Canggih

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kesal gara-gara terpaksa membatalkan hasrat untuk memperkenalkan sistem bantahan menerusi rakaman video bagi acara sepak takraw di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia selepas kontraktor yang dilantik oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) hampir setahun lalu gagal menyediakan spesifikasi rakaman yang memenuhi piawaian ditetapkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Sistem bantahan menerusi rakaman video digunakan untuk sesebuah pasukan mencabar keputusan pengadil dengan merujuk ulang tayang video menerusi kamera definasi tinggi (HD), sekali gus membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang kesal dengan insiden itu berkata sepatutnya acara regu berpasukan lelaki yang membuka tirai hari ini sudah menggunakan teknologi itu, seperti dilaporkan BH Online.

“Kami sudah beberapa kali memberi peluang kepada kontraktor yang dilantik MASOC ini selepas mereka pada awalnya berjanji pemasangan kamera HD dan sistem berkenaan akan selesai pada Mei lalu.

“Namun sehingga semalam mereka masih gagal menyelesaikan masalah ini apabila hasilnya masih sama dan gagal digunakan.

“Kita meminta sekurang-kurangnya enam buah kamera HD berkeupayaan merakam 100 frame per second (fps) untuk membolehkan ‘sistem bantahan’ berjalan dengan baik tetapi mereka hanya membawa empat buah kamera dengan keupayaan merakam 50fps,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Atas sebab itu, Ahmad Ismail berkata pihaknya terpaksa menarik hasrat untuk memperkenalkan sistem bantahan itu dan berharap ia dapat digunakan pada acara seterusnya.

“Kami bersikap terbuka, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak… kami terus akan memberi peluang kepada kontraktor yang terbabit untuk menyediakan teknologi itu bagi acara seterusnya.”

Difahamkan, usaha untuk melihat teknologi itu dilaksanakan di KL2017 bertujuan supaya ISTAF dapat menilai dan mengaplikasinya pada kejohanan dunia di India September depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");