Isu Panas

Puteri Minta Tambah Kuota Calon PRU14

SEREMBAN – Puteri UMNO meminta pucuk pimpinan parti mempertimbangkan untuk menambah jumlah kuota bagi pergerakan sayap itu bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Beliau berkata permintaan itu dibuat berdasarkan peningkatan jumlah pengundi muda wanita yang masa kini lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

“Saya sudah bercakap mengenai perkara ini dengan Presiden parti… kerana hari ini kita cuma ada (empat wakil rakyat) mewakili Puteri UMNO berbanding sembilan pada PRU13 kerana mereka telah diserapkan ke dalam pergerakan Wanita UMNO atas faktor umur.

“Jadi kita memerlukan calon wanita muda sebab hari ini ramai anak muda dari kalangan wanita dengan jumlah pengundi lebih 50 peratus, begitu juga dengan di univerisiti-universiti lebih 70 peratus merupakan penuntut wanita. Banyak isu-isu yang boleh diperjuangkan termasuk isu ekonomi, alam sekitar dan pelbagai lagi boleh dilakukan sekiranya ada wakil rakyat sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara datangnya dari Puteri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Puteri UMNO Bahagian Seremban di sini, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata setakat ini calon di kalangan Puteri untuk bertanding bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah dikenal pasti dan hanya menunggu masa sesuai untuk di diangkat kepada pucuk pimpinan parti.

Terdahulu, Mas Ermieyati dalam ucapannya menggariskan lima fokus utama yang perlu diberi keutamaan pergerakan itu iaitu mentaliti untuk menang, tambah jumlah keanggotaan, memperkukuh jentera, meminimumkan masalah dalaman dan bekerja bermati-matian.

“Mood kita mood PRU, jadi segala program yang dilakukan harus memikirkan imbuhannya kepada UMNO dan Barisan Nasional, mentaliti untuk menang mesti ada. Selain itu, Puteri juga perlu menambah ahli, tidak boleh tunggu lagi dan kukuhkan jentera kita.

“Kalau ada masalah dalaman, cuba bincang adik-beradik dan cuba jangan besarkan sesuatu masalah dan jangan ada yang jadi batu api,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");