Berita Hari Ini

Sambutan Bulan Kebajikan Negara 10 Sept – 1 Okt

PUTRAJAYA – Bulan Kebajikan Negara akan disambut mulai 10 September hingga 1 Oktober tahun ini sebagai mengiktiraf sumbangan diberikan kepada kumpulan sasar oleh pelbagai pihak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, program itu merupakan platform kolaborasi strategik dan manifestasi kerjasama multisektoral antara kementerian, agensi kerajaan, NGO dan syarikat korporat untuk kesejahteraan kumpulan sasar yang berada di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Program tersebut sangat bertepatan dengan lima teras utama JKM iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian.

“Sambutan Bulan Kebajikan Negara ini diharap akan memberi rangsangan kepada kumpulan sasar untuk memperkasa jati diri bagi tujuan pembangunan modal insan yang mampan dan kapasiti menyeluruh penglibatan semua agensi kerajaan, swasta dan NGO,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian, lapor Bernama.

Antara program dirancang sempena sambutan itu ialah pameran dan jualan produk OKU dan warga emas, program Ziarah Kasih, Kempen Sahabat B.I.J.A.K Self and Protect, kempen pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), penyampaian bantuan alat tiruan dan penyampaian anugerah bagi menghargai pencapaian serta sumbangan kumpulan sasar yang dikenal pasti.

Pada perhimpunan bulanan itu, Rohani turut memperkenalkan Info JKM, iaitu aplikasi yang dibangunkan secara mudah alih bagi memudahkan penyampaian dan semakan maklumat mengenai perkhidmatan JKM.

Katanya, aplikasi itu akan dibangunkan secara berfasa dan dilengkapi dengan kemudahan carian, navigasi, perkongsian, paparan gambar dan berhubung melalui panggilan terus atau emel.

Beliau berkata, bagi fasa pertama, aplikasi dibangunkan ialah Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan yang menerima geran dan status pusat jagaan, manakala fasa kedua melibatkan Taska dan Program 2 Years Exit (2 YEP).

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui aplikasi Android bagi fasa pertama dan akan ditambah baik secara berterusan,” katanya.

“Kita tahu ramai orang menggunakan nama rumah kebajikan untuk meminta derma di kedai makan dan perkara ini mengganggu. Jadi dengan adanya aplikasi ini, anda boleh membukanya dan memeriksa sama ada rumah kebajikan yang disebutkan itu berdaftar dengan kementerian atau tidak. Kalau berdaftar, kerajaan sudah pun memberi bantuan kewangan berbentuk geran bagi tempoh setahun,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");