Sukan Hari Ini

Sasaran 111 Pingat Emas Bersandarkan Prestasi

KUALA LUMPUR – Sasaran  Malaysia untuk mengutip 111 pingat emas dalam kempen Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) adalah bersandarkan kepada beberapa faktor seperti prestasi semasa atlet negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sasaran tersebut merupakan bilangan sama yang diperoleh oleh kontinjen Malaysia ketika muncul juara keseluruhan buat pertama kali ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2001.

“Bagi saya, tak kisahlah jika sasaran saya ini sama dengan pencapaian kita pada Sukan SEA 2001. Apa yang lebih penting ialah sasaran kita adalah realistik berdasarkan prestasi semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Tunku Imran Stateroom’ di stadium kriket Kinrara Oval di Puchong, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy melawat stadium berkenaan bersama Presiden Majlis Sukan Olimpik (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram.

Mengenai Kinrara Oval, Khairy berkata kerajaan memperuntukkan RM1.3 juta untuk menaik taraf stadium berkenaan untuk KL2017.

Beliau berkata kriket disenaraikan dalam temasya dwitahunan itu kerana MCA dan pasukan kriket negara telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas.

“Hanya adil bagi kami untuk memberi mereka pentas di KL2017 bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sejauh mana perkembangan pasukan kriket negara. Saya yakin dengan penampilan acara kriket ini sudah pasti akan meningkatkan profil sukan itu dalam negara apabila dijangka acara itu dapat menyumbang beberapa pingat emas,”  katanya,

KL2017, dengan 30 jenis sukan dan 404 acara, akan bermula secara rasmi pada 19 hingga 30 Ogos ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");