Sukan Hari Ini

Skuad Bola Jaring Tak Gentar Berdepan Singapura

KUALA LUMPUR – Pertemuan dua musuh tradisi sukan bola jaring rantau Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura, akan sentiasa menjadi perhatian setiap kali acara itu dipertandingkan pada temasya Sukan SEA.

Tidak hairanlah jika tiket untuk acara sukan bola jaring pada temasya kali ini telahpun habis dijual sebaik sahaja Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) melancarkan penjualan tiket pada 4 Julai lepas.

Bagi ketua pasukan bola jaring kebangsaan, Nur Syafazliyana Mohd Ali, pertemuan dengan Singapura sentiasa dinanti-nantikan.

Bagi dirinya, perbezaan kedudukan ranking bukanlah penghalang sebaliknya kesungguhan dan iltizam setiap anggota pasukan menjadi penentu kejayaan.

“Ranking tidak memberi apa-apa tekanan kepada kami. Paling penting ialah prestasi pada perlawanan itu, kita tidak tahu siapa akan menang dan siapa akan kalah. Yang pasti, kami akan main bermati-matian,” kata pemain berusia 24 tahun itu kepada pemberita di sini hari ini.

Pasukan Singapura kini berada di ranking ke-18 dunia berbanding skuad negara yang berada di ranking ke-21, sementara satu lagi pencabar, Thailand pula berada pada kedudukan ke-31 ranking dunia.

“Memang kedua-dua pasukan (Malaysia dan Singapura) menjalani latihan di luar negara tetapi apa yang penting adalah prestasi kami…peningkatan permainan dari hari ke hari. Kami akan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada,” katanya mengenai persiapan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).
Secara peribadi, pelajar tahun akhir jurusan pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mahu merampas kembali pingat emas di gelanggang sendiri.

Sokongan peminat sukan tempatan amat ditagih dalam menjayakan usaha merebut semula pingat emas di sini.

“Sokongan padu penyokong tempatan sudah cukup dan memadai bagi kami untuk beraksi cemerlang,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");