Sukan Hari Ini

Skuad Wanita Negara Kedua Terbaik Dunia!

HARAPAN Malaysia untuk menjuarai acara berpasukan wanita di kejohanan Remaja Dunia tidak kesampaian apabila tewas kepada Mesir pada perlawanan akhir yang berlangsung di Tauranga, New Zealand hujung minggu lalu.

Skuad negara dibarisi S Sivasangari, Aifa Azman, Zoe Foo dan Andrea Lee gagal mengekang juara lapan kali itu apabila tewas mudah 2-0.

Sivasangari yang menggalas tugas selaku pemain pertama kecundang di tangan Hania El Hammamy, lawan sama yang menewaskannya di pusingan suku akhir acara individu dua minggu lalu dengan keputusan 11-8, 11-8, 6-11, 11-9.

Aksi Sivasangari ketika bertemu Hania El Hammamy di perlawanan akhir.
Cubaan Malaysia untuk bangkit menerusi Andrea Lee dalam set kedua juga tidak kesampaian apabila juara remaja wanita dunia, Rowan El Araby menang dengan keputusan 11-4, 11-4, 9-11, 11-7 sekaligus memastikan Mesir menyapu bersih semua acara.

Bagaimanapun pujian harus diberi kepada pemain negara yang membuktikan mereka bertaraf dunia.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke akhir ialah pada 2001 dan 2007 yang mana kedua-duanya juga berakhir dengan Malaysia muncul naib juara.

Malaysia turut pernah menamatkan saingan di tempat ketiga sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1997 dan 1999.

Tonik KL2017

Bagi Aifa Azman walaupun gagal menjuarai Kejohanan Remaja Dunia, beliau menyifatkan pencapaian pemain remaja dunia cukup mengagumkan.

Aifa cemerlang menewaskan wakil England, Jasmine Hutton di separuh akhir.
Ujarnya, prestasi cemerlang Malaysia di kejohanan itu mampu menjadi pembakar semangat untuknya dan pemain remaja lain memberikan prestasi terbaik di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL207).

“Prestasi di kejohanan dunia memberi semangat kepada saya meraih pingat emas pada Sukan Sea nanti. Saya sudah lalui dua kejohanan bersama pemain senior dan untuk Sukan Sea pun saya akan bergandingan pemain senior, jadi tiada masalah.

“Saya yakin beraksi di gelanggang sendiri akan memberi keputusan yang positif. Saya rasa lebih bersemangat,” kata pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar ini ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lapor Sinar Harian.

Aifa yang membuat penampilan sulung KL2017 akan bergandingan dengan Rachel Arnold dalam acara beregu dan berpasukan wanita.

Menurutnya, walaupun jarang dapat berlatih bersama Rachel kerana perbezaan jadual, beliau yakin keserasiannya mereka akan terserlah di hari kejohanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");