Berita Hari Ini

SPRM Tunggu Selangor, Kelantan Menyusul Ikrar Bebas Rasuah

GEORGETOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu suatu tarikh yang sesuai daripada Kerajaan Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, setakat ini hanya dua negeri yang diterajui pembangkang masih belum menandatangani IBR iaitu Selangor dan Kelantan.

“Saya menyambut baik komitmen kerajaan Pulau Pinang melafazkan IBR dan tambahan 10 langkah integriti untuk memastikan kepimpinan kerajaan negeri dan seluruh agensi kerajaan negeri terus bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Pada minggu hadapan saya akan berada di Kelantan untuk program yang sama dan saya masih menunggu satu tarikh yang sesuai daripada Kerajaan Selangor untuk menandatangani IBR ini,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis IBR dan tambahan 10 langkah integriti kerajaan Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Selangor masih belum menyatakan sebarang tarikh yang sesuai untuk kedua-dua belah pihak walaupun menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian.

“Jadi kita tunggulah. Alhamdulillah, kalau selesai dengan kerajaan Selangor bermakna seluruh negeri di Malaysia telah menandatangani IBR.

“Selepas ini adalah tugas dan tanggungjawab SPRM pula untuk memastikan lafaz ikrar itu dilaksanakan di seluruh agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM bercadang untuk memastikan 10 langkah integriti yang diperkenalkan kerajaan Pulau Pinang ke semua negeri, beliau menyambut baik cadangan itu.

“Kita tunggu selepas pilihan raya umum sebab selepas ini mungkin ada kepimpinan kerajaan baru yang dilantik, jadi kita tak tahu.

“Selepas ini mungkin kita akan serapkan 10 langkah itu. Kalau nak buat sekarang mungkin dah lambat, jadi kita tunggu selepas PRU14,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");