Sukan Hari Ini

Sukan SEA KL2017: Anak Buah Kim Swee Mula Dengan Langkah Kanan

SHAH ALAM: Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara memulakan acara bola sepak Kumpulan A, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan langkah kanan selepas menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malaysia berada di depan seawal minit keempat menerusi sepakan voli cantik penyerang muda Johor Darul Ta’azim (JDT), Safawi Rasid.

Pemain kelahiran Terengganu itu melepaskan voli deras ke gawang Brunei selepas menerima hantaran lambung, Matthew Davies.

Namun, kurang 10 minit kemudian, Brunei menyamakan kedudukan menerusi Zulkhairy Hady Razali yang berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan skuad negara.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee berpeluang mendahului perlawanan seminit kemudian, malangnya percubaan pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin, gagal menepati sasaran.

Memasuki minit ke-34, berlaku sedikit ketegangan di antara pemain Brunei, Awang Mohd Aman dan pemain tengah negara, Muhammad Nor Azam Azih sehingga terpaksa dileraikan rakan sepasukan yang lain.

Muhammad Syazwan Andik mendapat peluang keemasan pada minit ke-42 untuk meletakkan skuad B-22 negara di depan semula, namun rembatan jarak dekatnya sekadar melambung tinggi.

Safawi hampir melakar gol keduanya malam ini tetapi sepakan percumanya di hujung babak pertama sekadar menggegar palang gol.

Bermula babak kedua, Safawi sekali lagi mengancam kubu Brunei dengan percubaan dari jarak 20 meter, namun rembatan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Brunei, Haimie Anak Nyaring.

Adam akhirnya melunaskan peluang keduanya apabila melepaskan tandukan deras pada minit ke-60 untuk gol kedua negara hasil sepakan sudut Safawi.

Brunei berpeluang menyamakan kedudukan empat minit kemudian, namun sepakan percuma Suhaimi Anak Sulau berjaya ditampan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat untuk menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata pertama.

Kim Swee turut menyuarakan rasa puas hati terhadap persembahan anak buahnya yang tidak terkesan dengan corak bertahan lawan.

“Ini adalah perlawanan pertama dan pemain saya menghasilkan banyak peluang. Brunei tidak membuka ruang yang banyak dan bertahan dengan baik sepertimana yang kami jangkaan.

“Gol kedua sangat membantu kami. Tiga mata ini amat penting,” katanya.

Sementara itu, aksi pada sebelah petang menyaksikan Myanmar melakar kemenangan 2-0 ke atas Singapura menerusi dua gol Aung Thu.

Malaysia bakal berdepan Singapura dalam perlawanan kedua Rabu ini di Shah Alam sementara Brunei membuat perhitungan dengan Myanmar, dua hari kemudian.

 

-STADIUM ASTRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");