Berita Hari Ini

‘Tanpa Saya, BN Kalah Lebih Teruk’

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ada pihak beranggapan kekalahan BN Selangor pada PRU12 berpunca daripadanya.

Bagaimanapun katanya pihak berkenaan lupa BN juga kalah di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan pada PRU berkenaan.

“Lalu mereka perlu singkirkan saya untuk beri imej gemerlapan dan gemilang kepada BN Selangor. Saya dibicara dan dipenjarakan.

“Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya, semalam lapor Sinar Harian.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Mohamad Khir antara punca kekalahan BN di Selangor pada PRU12.

Tengku Adnan dilaporkan berkata, rakyat marah terhadap Mohamad Khir dalam beberapa isu seperti pencerobohan kuil dan anugerah penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Menurut Mohamad Khir, masalah dalam BN dan Umno ialah mereka tidak berani membuat penilaian sebenar serta hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat.

“Mereka bersorak menang besar di Sungai Besar. Sebelum PRK semua diminta bersatu dan membantu parti. Selepas menang, jasa dan sumbangan milik orang tertentu sahaja,” katanya.

Katanya, pada PRK Sungai Besar, undi diterima calon BN, Budiman Mohd Zohdi hanyalah 16,800 undi berbanding undi diterima Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon sebanyak 18,695 undi.

“Bayangkan undi merosot hampir 2,000,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kekuatan BN dan strategi yang perlu dilakukan.

“Jadi kuat di mana kita? Kuat hanya kerana pihak musuh berpecah? Jika esok mereka bersatu, apa strategi kita?,” katanya.

Pada 2013, PKR, DAP dan Pas mengekalkan kuasa di Selangor setelah memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");