Jenayah

Tembak Mati Polis: PDRM Dapatkan Maklumat Perisikan, Buru Penjenayah

TELUK INTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan kerjasama daripada maklumat perisikan bagi menangkap penjenayah yang terlibat dalam kes tembak mati Sub Inspektor Abu Hashim Ismail pada Jumaat lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya komited untuk memastikan kejadian itu, dipercayai dilakukan anggota kongsi gelap, akan diselesaikan dengan segera.

“Buat masa ini, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Kedah telah mengemaskini maklumat kepada saya.

“Walaupun ada penembak upahan daripada negara di luar Malaysia, dengan kerjasama Mutual Legal Assistance (MLA) dan kerjasama perkongsian maklumat intelligent (perisikan), kita akan mencari hingga memperolehi, menangkap serta membawa ke mahkamah anggota yang membunuh polis berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan, di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pihaknya sentiasa komited untuk melihat indeks jenayah di Malaysia dapat diturunkan walaupun terdapat risiko yang sentiasa dihadapi pasukan polis negara.

Ahmad Zahid berkata, Abu Hashim pada ketika itu sedang menghabiskan masa cutinya namun terkorban di lokasi kejadian berikutan komitmennya sebagai seorang pegawai polis.

“Saya ucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarganya. Saya harap keluarga beliau bersabar. PDRM akan membantu bukan sahaja dari segi kelayakan, tetapi juga yang terbaik untuk keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas kepada media mengenai perihal suspek yang disyaki berasal dari negara luar itu, bagi mengelak daripada mengeruhkan hubungan diplomatik antara negara.

Pada Jumaat, Abu Hashim, 54, pegawai polis rendah yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam tembakan yang dilepaskan ke arahnya di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changlun, Jitra.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");