Perak Hari Ini

Usaha Bantu Adik Mujahid!

SAYONG:Disebalik, keletah dan keriangannya tiada siapa menyangka penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak berusia lima tahun, Syed Mujahid Syed Muhammad Rasul.

Dia bermain seperti kanak-kanak normal yang lain malah menurut ibunya, Noor Fazilah Abdul Aziz, 36, anak keduanya itu sangat meminati sukan bola sepak dan selalu bermain bersama rakannya.

Bagaimanapun, adik Syed Mujahid ini ternyata berbeza dan istimewa berbanding kanak-kanak seusianya yang mana normalnya hati manusia ada di dalam tubuh dan tidak terlihat mata kasar namun bagi anak kecil ini organ tersebut berada di luar sedari kecil.

Mujahid yang lahir pada 23 Disember 2011 ini tidak ubah seperti kanak-kanak lain, aktif, periang, lasak, cuma di bahagian perutnya terdapat sedikit benjolan iaitu ketulan hatinya.

Menurut Noor Fazilah, anaknya itu sangat aktif, tidak boleh duduk diam, ada saja perkara dia buat malah pernah patah tangan kanan dua bulan lepas.

“Pada masa itu dia panjat almari, saya sudah larang tapi dia panjat juga. Tiba-tiba, dia jatuh dari almari dan menyebabkan tangannya patah. Dengar dia menangis, masa itu Tuhan saja tahu betapa risaunya saya.

“Saya takut kalau apa-apa jadi pada hatinya. Dulu masa umurnya empat bulan, dia pernah mengalami pendarahan teruk pada hatinya. Mujur Mujahid selamat.

“Makcik saya tidak biasa lagi dengan Mujahid, jadi dia dukung rapat sikit ke badan. Mungkin sebab kulit belum tutup habis, itu yang sensitif sikit. Banyak jugalah darah keluar,” katanya.

Tambah Noor Fazilah, sebagai ibu, dia sentiasa risaukan keselamatan Syed Mujahid namun dia tidak sampai hati melarang anaknya itu hidup aktif bersama rakan seusianya.

“Dia pernah jatuh basikal, dia kata di sakit pada bahagian hatinya. Bila dia sakit seperti itu, dia banyak diam dan berehat. Jadi saya tahu bila dia sakit dan bila dia elok.

“Bila dia aktif main sana-sini, saya tahu keadaan dia baik jadi saya kurang risau. Cuma kalau dia diam saja, banya berehat, itu memang buat saya risau kerana saya tahu dia sedang sakit.

“Paling saya risau bila dia terlalu kenyang. Kalau kenyang, boleh nampak hatinya sangat tegang. Bila jadi macam itu, memang saya risau,” katanya yang menetap di Kampung Tersusun Salak Baru, Sungai Siput.

Jelas ibu Mujahid lagi, anaknya mungkin akan menjalani pembedahan tidak lama lagi dan kini dia buntu memikirkan bagaimana mencari wang untuk pembedahan tersebut.

“Saya sedikit lega bila Perdasama Perak (Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia) tampil untuk membantu kami. Saya serahkan sepenuhnya urusan sumbangan kepada mereka.

“Kisah anak saya ada ditularkan dalam media sosial baru-baru ini. Ada juga yang hubungi saya tapi marah-marah pula, kata saya menipu. Jadi, biarlah Perdasama Perak uruskan semua,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pemuda Perdasama Perak, Mohd Izwan Mohamed Nazir berkata, pihaknya menyasarkan membuat kutipan sebanyak RM 80,000 untuk menampung kos pembedahan Syed Mujahid.

Menurutnya, beliau bercadang membawa kes tersebut kepada Menteri Besar Perak kelak dan langkah awal buat masa ini adalah meletakkan tabung sumbangan di masjid-masjid.

“Kita belum tahu kos pembedahan namun kita anggarkan dalam RM 80,000. Gerak kerja untuk mengutip dana sudah dibuat dan selepas dilancarkan Ramadan lalu, kita berjaya kumpul lebih RM 1,000 sekarang.

“Pada yang mahu membantu, boleh berhubung terus dengan kami atau salurkan sumbangan ke akaun RHB PERDASAMA Perak 25810500002316.

“Segala sumbangan diterima akan disalurkan terus kepada keluarga ini. Kami hanya bertindak sebagai orang tengah untuk memudahkan urusan pemberian sumbangan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");