Berita Hari Ini

Whatsapp, Telegram Medium Terbaik Sebar Isu Agama- Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Agensi agama di negara ini perlu memanfaatkan penggunaan aplikasi media sosial tertutup seperti WhatsApp dan Telegram sebagai medium baharu untuk menyebarkan isu-isu keagamaan kepada masyarakat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Lapor Bernama, beliau berkata aplikasi demikian yang menjadi trend baharu adalah lebih ‘berkuasa’ dan memberikan impak lebih baik kerana mudah tular serta dekat dengan masyarakat berbanding aplikasi bersifat terbuka seperti Facebook, Instagram atau Twitter.

“Jadi saya sarankan agensi agama memanfaatkan segala aplikasi ini dan bukan sekadar guna medium forum atau diskusi sahaja untuk sebar luaskan pengetahuan terutama dalam membicarakan isu perkahwinan serta punca penceraian yang mampu dijadikan iktibar,” katanya ketika merasmikan program diskusi ‘Sah Nikah Sah Nasab’ dan pelancaran Buku Kompilasi Kes-Kes Runding Cara Jabatan Agama Islam Wilayan Persekutuan (JAWI) di Kompleks Pusat Islam JAWI di sini, pada Khamis.

Program yang disertai kira-kira 1,100 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan kakitangan JAWI itu turut dihadiri Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Noor Huda Roslan.

Mengulas lanjut pada sidang media, Asyraf Wajdi berkata dunia kini adalah dunia tular yang mempunyai ‘kelompok tular’ iaitu individu yang gemar menyebarluaskan sesuatu perkara melalui media sosial sama ada terbuka atau tertutup.

Justeru beliau berharap supaya sebarang aktiviti atau isu keagamaan bukan sahaja dibukukan atau disebarkan dalam bentuk fizikal namun turut disebarkan melalui aplikasi yang lebih dekat dengan masyarakat supaya lebih ramai mendapat manfaat.

Mengenai pelancaran buku runding cara terbitan JAWI itu, Asyraf Wajdi berkata ia merupakan satu inisiatif berguna yang mampu memberi pencerahan mengenai isu perkahwinan dan kekeluargaan kepada masyarakat.

Buku percuma 75 muka surat itu adalah kompilasi pengalaman runding cara keluarga yang dikendalikan oleh pegawai agama Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI yang mengandungi himpunan kisah benar isu-isu kekeluargaan dan cadangan jalan penyelesaian yang boleh dijadikan panduan pasangan suami isteri dan keluarga.

Selain itu, program ‘Sah Nikah Sah Nasab’ yang diadakan sejak 2013 bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai isu-isu terkini keluargaan serta hukum hakam perkahwinan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk terus mengekalkan keharmonian dan keamanan keluarga masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");