Perak Hari Ini

28 Tahun: ‘Melody’ Tetap Bertahan

IPOH:Dari jauh anda akan dengari alunan pelbagai jenis lagu dari sudut kedai music ‘legend’ di tingkat satu Kompleks Yik Foong terletak di Jalan Laksamana berhampiran bangunan lama Super Kinta di Bandaraya Ipoh.

Mungkin tidak perlu diceritakan lagi kepada semua kewujudan Kedai Melody Music sejak 28 tahun lalu masih menjual pelbagai jenis kaset dan cakera padat muzik dalam dan luar negara masih bertahan dan unik sehingga kini.

Susunan kedainya yang masih tidak berubah dari susunan kaset memenuhi dinding kedai hingga ke susunan koleksi piring hitam ‘Sweet Charity’ dan ‘Search’, serta pelbagai poster artis tempatan dan luar negara pastinya mampu mengamit kenangan anda jika pernah berkunjung ke kedai muzik itu.

Pemilik kedai yang selesa dipanggil Edwin 58 tahun berkata, setelah Melody berpindah ke Kompleks Yik Foong pada 1991 sehingga kini kedainya itu telah dikunjungi ramai pelanggan setia terutama daripada pelanggan berbangsa Melayu.

“Hampir 80 peratus pelanggan terdiri daripada Masyarakat Melayu, kerana di sini banyak pilihan lagu dari era 80-an hingga kini masih boleh didapati di sini,” katanya yang ditemui oleh Peraktoday di kedainya baru-baru ini.

Jelasnya lagi, minatnya yang mendalam mengenai muzik menjadikan dirinya tidak pernah jemu mengusahakan perniagaan tersebut hingga kini biarpun turut mengakui perniagaan itu semakin hari semakin merosot kerana kemodenan era kini.

Ada Pelanggan Setia

Edwin turut berkongsi cerita bahawa Melody mempunyai pelanggan dan peminatnya tersendiri apabila pelanggannya itu sedari kecil pernah datang ke kedainya dan setelah berkeluarga tetap setia mengunjungi kedainya itu bersama anaknya kini.

“Memang perniagaan sedikit lembap namun saya ada pelanggan setia dahulu dia kecil datang ke sini dan setelah berkahwin dan mempunyai anak dia bawa anaknya pula ke sini,” katanya.

Tambahnya lagi, peminat pengumpul barangan antik juga gemar datang ke Melody bagi mencari kaset-kaset juga lagu-lagu lama untuk disimpan sebagai koleksi.

“Saya ada pelanggan tetap dan mereka pastinya akan datang semula ke kedai ini,” katanya.

Pelbagai Lagu Tak Lapuk Dek Zaman

Carilah apa jenis genre muzik, semua ada dari pop, dangdut, rock, punk, Balada, blues hingga ke black metal boleh dikatakan semua ada di Melody.

Penulis boleh katakan jangan mudah menilai daripada luarannya sahaja  kerana rupa kedai Melody yang kelihatan semakin ditelan masa itu masih menyimpan pelbagai keunikan tersendiri untuk dinilai sendiri dan diselongkar oleh kita.

Jelas Edwin harga kaset dan cakera padat yang dijual masih berpatutan malah ada juga pelbagai potongan harga dan promosi hingga mencecah RM5 sahaja bagi sesetengah muzik.

Edwin turut berkongsi minatnya mengumpul piring hitam dan antara koleksi yang disayangi ialah piring hitam kumpulan Sweet Charity dan Search yang dipamerkan di ruang kedai.

Rancang Untuk Tutup?

Bertanya sama ada Melody akan terus bertahan atau tidak, jelas Edwin setakat ini dia tidak pernah merancang untuk menutup kedai muziknya itu kerana ia merupakan salah satu sumber pencariannya selama ini.

“Saya akan tutup Melody bila tiba masanya mungkin jika saya mahu bersara kelak,” katanya sambil ketawa.

Jelasnya Melody akan terus bertahan kerana adanya sokongan dan permintaan daripada pelanggan setianya.

“Pelanggan yang mahukan kualiti akan mendapatkan cakera padat dan kaset kerana apabila anda memuat naik daripada internet kualiti muzik sangat berbeza malah emosi pendengarnya juga berbeza,” katanya.

Uniknya Kompleks Yik Fong

Dahulunya Kompleks Yik Foong merupakan antaranya pasaraya yang terkenal di Bandaraya Ipoh malah ketika ini ia terkenal dengan penjualan barangan komputer seperti mini Kompleks Low Yatt, Kuala Lumpur.

Difahamkan, ada juga ‘port’ tertentu bagi memperagakan fesyen pakaian dikalangan peminat muzik antaranya Punk dan Metal satu ketika dahulu.

Tinjauan kini mendapati banyak kedai tidak menjalankan operasinya malah ada juga yang sedang dibaikpulih.

Jika anda ke kompleks ini jangan lupa mencuba nasi Ayam Penyet dan pelbagai makanan lazat di Restoran Jawa Cafe dibahagian bawah bangunan itu.

Kedai Legend seperti Lucky Trading, Kedai Kasut Yik Fong Shoes Centre antara yang masih kekal beroperasi di bangunan itu.

sdr

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");