Membawang Hari Ini

Afiq Muiz Belajar Daripada Kesilapan

BIARPUN sudah enam tahun berlalu, namun pergolakan antara aktor muda ini dengan ibunya, Hasliza Mohd masih lagi diperkatakan.

Bagi tuan empunya badan, dia mengakui sudah lelah dan sedikit berkecil hati apabila kisah lama masih diungkit-ungkit sesetengah pihak.

Dek kerana faktor itu juga, Afiq Muiz dilihat menjauhkan diri dengan media.

Namun, jelas pemilik nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, dia tidak sesekali berniat melarikan diri dari media, namun berharap tiada mana-mana pihak ungkit cerita lama.

“Sejujurnya, saya tiada apa-apa masalah dengan media. Cuma ada segelintir masih bertanya mengenai ibu saya dan bangkitkan isu lama.

“Melabelkan saya sebagai anak derhaka kepada emak. Padahal isu yang berlaku itu sudah enam tahun berlalu dan ketika itu, saya sendiri tidak ada niat untuk derhaka pada ibu.

“Hanya pergeseran mengenai isu kecil dan kami juga sudah berdamai. Kini keutamaan saya adalah pada ibu dan adik-adik saya,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Tayangan Filem I’m Not A Terrorist arahan Arjin Uppal lapor Sinar Harian.

Hadir sama pada malam tersebut, pelakon filem berkenaan iaitu dua bintang Bollywood, Gulshan Grover dan Farida Jalal serta Chacha Maembong.

Tambah aktor berusia 25 tahun ini, masyarakat juga seharusnya menjadikan pergolakan yang pernah berlaku di antara dia dan ibunya suatu ketika dahulu sebagai pengajaran.

“Saya harapkan tidak ada lagi yang bertanya mengenai isu ini, yang berlalu biarlah ia berlalu. Saya sendiri belajar daripada kesilapan lalu,” jelasnya yang kini selesa ditemani ibu ke mana sahaja.

Berkongsi perkembangan terkininya, Afiq berkata, selain terlibat promosi filem I’m Not A Terrorist, dia kini juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri LaLuna.

Cabaran berbahasa Hindi

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dengan penggambaran filem tersebut, Afiq berkata, filem berkenaan memberi pengalaman baru yang tidak boleh dilupakan.

Membawakan watak sebagai pemuda Kashmir bernama Ummar, Afiq berkata, dia perlu berbahasa Hindi untuk beberapa babak di dalam filem berkenaan.

“Saya masuk kelas bahasa Hindi kira-kira dua minggu di sini dan kemudian terbang ke Kashmir untuk penggambaran. Tidak dinafikan agak sukar untuk saya berdialog dalam bahasa Hindi biarpun saya pernah beberapa kali menonton filem Hindustan.

“Bagaimanapun Alhamdulillah kerana ALLAH SWT memberi saya kekuatan untuk saya bercakap bahasa Hindi. Malah saya juga lakukan sendiri babak aksi termasuk melompat ke atas kereta,” katanya.

Selain itu tambah Afiq, dia juga berpeluang menimba pengalaman berlakon bersama bintang Bollywood yang sangat profesional ketika di set penggambaran.

“Walaupun mereka bintang ternama, tapi mereka sangat baik dan tidak menganggap kami macam orang luar. Boleh dikatakan kami sekepala dan bila masuk sahaja set, kami tahu peranan masing-masing dan mereka juga banyak membantu kami,” ujarnya.

Filem I’m Not A Terrorist terbitan White Merpati Entertainment akan ditayangkan di seluruh tanah air bermula 5 Oktober ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");