Jenayah

Anggota Polis Maut Selepas Rempuh Kereta

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru menghala ke Pontian, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata pada kejadian 12.40 tengah malam tadi, Konstabel Rashkhairul Aqil Raszali, 23, yang bertugas di Balai Polis Skudai meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

“Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas di sentri lokap di Balai Polis Skudai. Ketika kejadian, mangsa berada di lorong kanan gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang tiba-tiba memasuki laluannya.

Berdasarkan daripada maklumat, pemandu kenderaan berusia 20 tahun itu dipercayai mahu membuat pusingan U ketika kejadian. Pihak polis juga memeriksa keadaan jalan dan mendapati ketika kejadian cuaca baik serta mempunyai lampu jalan,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata pemandu lelaki itu kemudiannya ditahan reman tiga hari bermula hari ini, selepas tampil di balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian.

“Pemandu itu mempunyai lesen memandu tetapi kita akan lakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini. Orang awam yang mempunyai maklumat juga dimohon untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");