Jenayah

Angota Polis Didakwa Terima Suapan

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, sebentar tadi selepas didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM6,500 dua tahun lalu.

Tertuduh, Harjinder Singh Saudagar Singh, 53 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Harjinder yang bertugas sebagai Sarjan Pentadbiran Balai Polis Kota Tinggi dekat sini didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di antara bulan Jun hingga Julai 2015 lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM4,000 daripada seorang penjual mercun sebagai dorongan melepaskan dua pekerjanya yang disyaki menjual mercun dan bunga api. Perbuatan itu dilakukan di Balai Polis Kota Tinggi, kira-kira jam 10 malam, 26 Jun 2015.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu didakwa menerima rasuah RM2,500 daripada individu yang sama bagi tidak mengambil tindakan ke atas perniagaan menjual mercun dan bunga api milik lelaki itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di No 2, Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi, kira-kira 3.20 pagi, 17 Julai 2015 dan di sebuah restoran di Jalan Mangga 1, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada jam 10.30 malam, 18 Julai 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");